304 jalani Minggu Orientasi ITB

304 jalani Minggu Orientasi ITB

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Seramai 304 pelajar baru, hari ini, menyertai Minggu Orientasi bagi Sesi Akademik 2015/2016, yang berlangsung di Dewan Serba guna, Institut Teknologi Brunei (ITB) di sini.

Majlis pagi tadi itu dihadiri oleh Naib Canselor ITB, Profesor Madya Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh mahasiswa Ijazah Asas Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan, Awang Abdul Qawi Ariq bin Haji Mohamed Hussain.

Profesor Madya Dr Hajah Zohrah dalam ucapannya menekankan bahawa visi ITB adalah untuk menjadi di antara 10 universiti kejuruteraan dan teknologi terbaik di rantau Asia Tenggara menjelang 2018.

Untuk mencapai visi ini, para pelajar perlu bersedia untuk menjadi individu yang serba boleh dan mempunyai daya kepimpinan, kreativiti, motivasi, inovasi dan berwawasan, selaras dengan komitmen ITB dalam menghasilkan pelajar 360 darjah.

Profesor Madya Dr Hajah Zohrah semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Profesor Madya Dr Hajah Zohrah semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Para pelajar baru yang menjalani Minggu Orientasi ketika melafazkan ikrar.
Para pelajar baru yang menjalani Minggu Orientasi ketika melafazkan ikrar.

pg08_150729_c

“Saya ingin menyeru kepada pelajar-pelajar baru agar mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental, bersedia bergerak aktif di samping meluahkan idea-idea baru dan memberi sokongan padu ke arah visi ITB.”

Beliau juga berbangga dengan kejayaan Majlis Perwakilan Pelajar berserta lebih 200 sukarelawan ITB mengelolakan kejohanan bola sepak Piala Universiti 2015 baru-baru ini.

Kejayaan tersebut merupakan testimoni kepada kerja berpasukan, kepimpinan, dan pengurusan yang teratur di samping berjaya menyatupadukan institusi-institusi pengajian tinggi awam serta menerapkan nilai-nilai teras ITB iaitu profesionalisme, inovatif, bersemangat dan berintegriti.

“Pencapaian pelajar-pelajar ITB dapat dibanggakan melalui anugerah CIPTA 2015, ‘Ignite Business Challenge’, ‘Brunei ICT Award atau BICTA’ dan ‘Asia-Pacific ICT Award atau APICTA’.

“Mereka telah mengharumkan nama ITB di dalam dan luar negara. Dari itu, saya menggalakkan pelajar-pelajar baru ITB agar mempunyai hasrat untuk sentiasa bersaing dan menjadi pesaing yang terbaik.”

Beliau menasihatkan para pelajar untuk sentiasa berusaha mengatur masa bagi mencapai keseimbangan hidup dan pelajaran dengan bergiat secara aktif dalam aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan secara individu dan berkumpulan serta program-program akademik yang dirancang oleh ITB.

Profesor Madya Dr Hajah Zohrah menjelaskan lagi bahawa satu Unit Kerjaya di ITB baru telah ditubuhkan dan ia adalah bertujuan untuk membantu para pelajar untuk membuat persediaan agar graduan ITB bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan malah menjadi pembekal pekerjaan.

Majlis pagi tadi itu kemudian diteruskan lagi dengan tayangan multimedia dan bacaan ikrar oleh pelajar-pelajar baru.

Minggu orientasi ITB berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 Julai yang dikelolakan oleh Pejabat Pendaftar ITB, Bahagian Hal Ehwal Pelajar ITB dan Majlis Perwakilan Pelajar ITB.

ARTIKEL YANG SAMA