306 kes lalu lintas, minggu ke-2 Jun

306 kes lalu lintas, minggu ke-2 Jun

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei telah mencatatkan sebanyak 306 kes atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam 16 operasi penguatkuasaan lalu lintas sepanjang minggu kedua bulan ini (8 – 14 Jun).

Menurut laporan JSKLL, hari ini, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 225 kes direkodkan oleh JSKLL Gadong dengan 13 operasi, manakala JSKLL Cawangan Batu 3, Belait, mencatat 81 kes dalam empat operasi.

Daripada jumlah itu juga, 277 merupakan kes kompaun dan 29 kes doket, dengan kesalahan paling tinggi yang dicatatkan adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan sebanyak 169 kes.

Dalam pada itu, JSKLL turut mengeluarkan statistik kemalangan jalan raya bagi tempoh yang sama, iaitu sebanyak 76 kes, dengan Daerah Brunei dan Muara mencatat jumlah tertinggi sebanyak 42 kes, diikuti oleh Daerah Belait sebanyak 30 kes, Daerah Temburong tiga kes dan Daerah Tutong mencatat satu kemalangan jalan raya.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menekankan kepada para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini, dan sentiasa meningkatkan keselamatan serta berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

ARTIKEL YANG SAMA