3,086 kes penipuan pakej umrah

3,086 kes penipuan pakej umrah

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 23 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK) Malaysia merekodkan sebanyak 3,086 kes penipuan pengendalian pakej umrah di bawah tribunal pengguna di seluruh negara membabitkan kerugian RM19.1 juta dalam tempoh 2012 hingga Oktober 2015.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah berkata selain itu sebanyak 57 kes kesalahan penipuan pakej umrah turut dicatatkan di bawah Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 membabitkan jumlah kompaun RM232,000 dan pembatalan empat lesen di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata oleh itu kempen kesedaran penipuan pakej umrah dan hak-hak kepenggunaan dijalankan di bawah KPK untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak tertipu dan mengetahui agensi pengendali umrah yang berlesen dan berdaftar dengan Muasassah.

“Setakat ini tiga agensi pengendali pakej umrah sudah disenaraikan hitam kerana menipu orang ramai berhubung pakej pengendalian umrah,” katanya pada Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah/Ziarah, dan Hak-Hak Kepenggunaan 2012 di sini hari ini.

Datuk Rashidi (empat kiri) ketika menyerahkan cenderamata kepada wakil Residen Limbang.
Datuk Rashidi (empat kiri) ketika menyerahkan cenderamata kepada wakil Residen Limbang.

Turut sama ialah Setiausaha Bahagian Perlesenan KPK, Nor Yahati Awang, Pengarah Pejabat KPK Sarawak Charles Buas,wakil Residen Limbang Saiful Bahri Alwie dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Limbang Mohamad Abu Bakar.

Rashidi menjelaskan lagi sebanyak 59 agensi pengendali umrah yang ada di negara ini.

Beliau mahu agensi pengendali umrah agar berlesen dengan KPK dan berdaftar dengan Muasassah sebelum 3 Oktober 2016.

“Mereka yang enggan mematuhi arahan tersebut akan dikenakan tindakan di bawah AIP 1992, iaitu denda RM50,000 dan lima tahun penjara sebelum Oktober tahun depan,” ujarnya lagi.