309 amil zakat dilantik

309 amil zakat dilantik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Tugas sebagai amil mungkin nampak mudah dan senang sahaja, kerana dilihat hanya menunggu umat Islam menyerahkan wang zakat di sudut-sudut masjid atau rumah amil.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ketika memberi ucapan.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ketika memberi ucapan.

Akan tetapi, hakikatnya ia adalah tugas yang berat kerana di sana ada perkara besar dan berat yang dipikul oleh para amil iaitu sifat amanah.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menjelaskan, antara bentuk-bentuk amanah yang dimaksudkan ialah amanah dalam menjaga keselamatan wang zakat, agar jangan hilang atau tercicir atau dicuri.

“Amanah dengan tidak mengusiknya, meminjam atau memakai sementara duit berkenaan,” tekan beliau lagi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah dan Harta yang berlangsung di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.

Beliau juga menasihatkan kepada para amil agar wang zakat hendaklah dijaga dengan sempurna, jangan diletakkan dengan sembarangan dalam kereta atau dalam pejabat tanpa pengawasan, kerana zaman sekarang ini, pencuri sudah tidak mengenal tempat untuk melakukan kegiatan curi sehingga kejadian curi di masjid-masjid pun telah selalu berlaku.

Dalam pada itu, beliau mene-gaskan kepada para amil untuk melaksanakan tugas sebagai amil dengan penuh ketaqwaan, penuh bertanggungjawab, amanah, berdisiplin dan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T.

Dalam usaha penyerahan wang zakat, tambah beliau, para amil haruslah mengambil perhatian agar bersikap efisien dan lebih berdisiplin iaitu antara lain dapat menyerahkannya dalam masa yang ditetapkan sepertimana jadual atau arahan Jabatan Majlis Ugama Islam.

Imam Jame Asr Hassanil Bolkiah menerima tauliah amil zakat daripada tetamu kehormat.
Imam Jame Asr Hassanil Bolkiah menerima tauliah amil zakat daripada tetamu kehormat.

Kegagalan amil menyerahkan dalam masa yang ditetapkan akan mendatangkan risiko wang zakat itu berada lebih lama di tangan amil dan risiko kehilangan wang zakat sama ada kerana kecuaian atau kecurian atau bersikap tidak amanah, ujar beliau.

Pada tahun ini, seramai 309 orang amil telah dilantik bagi 140 buah kawasan tempat mengutip zakat di seluruh negara iaitu Daerah Brunei dan Muara seramai 184 orang amil bagi 79 kawasan mengutip zakat, Daerah Belait seramai 22 orang amil bagi 15 kawasan, Daerah Tutong seramai 49 orang amil bagi 29 kawasan dan Daerah Temburong seramai 24 orang amil bagi 13 kawasan.

Manakala itu, di Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei telah dilantik seramai 30 orang amil bagi empat kawasan mengutip zakat yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Sejak berkuat kuasanya Peraturan Zakat dan Fitrah, Tahun 1969, Majlis Ugama Islam Brunei telah melantik amil-amil yang terdiri daripada pegawai-pegawai masjid, imam, bilal, penghulu, ketua kampung, guru agama, pegawai-pegawai beruniform seperti Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei, pegawai bomba dan kakitangan kerajaan yang bersesuaian.

Tempat-tempat pengutipan dan pembayaran zakat fitrah dan harta dilakukan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat, rumah-rumah amil (terdiri daripada penghulu mukim dan ketua-ketua kampung), di Pejabat Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei dan cawangan-cawangan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat di pejabat-pejabat hal ehwal ugama di daerah Belait, Tutong dan Temburong.

Selain itu, institusi-institusi kewangan Islam yang dilantik sebagai amil adalah bagi mengutip zakat harta sahaja iaitu bagi penyimpan di bank-bank Tabung Amanah lslam Brunei (TAIB) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Terdahulu dari itu, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama lslam Brunei, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop selaku Pengerusi Bersama Majlis dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa terdapatnya peningkatan dalam jumlah kutipan zakat fitrah dan jumlah keramaian orang yang berzakat pada tahun 1436H I 2015M berbanding tahun 1435H/2014M.

Manakala itu, kutipan zakat harta pula, meskipun jumlah keramaian yang mengeluarkan zakat harta meningkat, namun jumlah kutipan zakat harta menurun pada tahun 1436H /2015M berbanding tahun 1435H/2014M.

Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, pada tahun 2014 jumlah zakat fitrah yang terkumpul adalah sebanyak $927,297.87 dengan keramaian 329,475 orang dan pada tahun 2015 jumlah zakat yang terkumpul sebanyak $931,638.97 dengan keramaian 330,976 orang.

Manakala zakat harta pada tahun 2014 sebanyak $16,923,245.71 dengan keramaian 4,489 orang dan pada tahun 2015 berjumlah $16,830,149.77 dengan keramaian 5,014 orang.

ARTIKEL YANG SAMA