31 anak yatim MSPSBS dibantu

31 anak yatim MSPSBS dibantu

Oleh Siti Lizawati Mhd

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Bersempena bulan Ramadan yang penuh dengan berkat ini, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) semalam mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Tahlil, Penyerahan Derma bagi Anak-anak Yatim dan Penyampaian Penghargaan kepada Kakitangan MSPSBS yang berlangsung di dewan maktab berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengetua MSPSBS, Hajah Hasimawati binti Haji Mohamad dan turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG), Hajah Florinda binti Haji Majenis; pegawai-pegawai, guru-guru agama, kakitangan dan juga murid-murid dari sekolah tersebut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Timbalan Pengetua bahagian Pentadbiran, Huzaimi bin Haji Moksin dan diteruskan dengan bacaan surah-surah khatam, Takhtim dan juga Doa Khatam serta diselajurkan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Tahlil.

Hajah Hasimawati menyampaikan penghargaan kepada anak-anak yatim.
Hajah Hasimawati menyampaikan penghargaan kepada anak-anak yatim.

Majlis ini merupakan majlis tahunan yang dianjurkan oleh sekolah berkenaan dengan kerjasama PIBG.

Seramai 1,000 orang penuntut khatam Al-Quran diraikan pada tahun ini, manakala sumbangan derma juga dihulurkan kepada 31 orang anak-anak yatim sekolah berkenaan yang terdiri daripada mereka yang beragama Islam dan bukan Islam, diselajurkan dengan penyampaian penghargaan kepada 11 orang kakitangan maktab.

Sumbangan adalah hasil kutipan warga MSPSBS, PIBG dan orang-orang persendirian.

ARTIKEL YANG SAMA