31 dilantik sebagai pegawai kadet

31 dilantik sebagai pegawai kadet

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Seramai 31 orang pegawai kadet akan memulakan perjalanan mereka untuk menjadi seorang pegawai tentera di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), setelah terpilih untuk mengikuti kursus ABDB selama 52 minggu.

Sehubungan dengan itu, Majlis Pelantikan Pangkat dan Pelancaran Kursus Pegawai Kadet Pengambilan ke-15 telah diadakan hari ini, di Ceremonial Hall, Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu.

Pelantikan pangkat dan pelancaran kursus berkenaan telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera dan komandan, para pengarah, pegawai kanan, pegawai serta ibu bapa dan ahli keluarga pegawai-pegawai kadet.

Mereka yang terpilih untuk mengikuti kursus tersebut telah melalui proses pemilihan yang ketat, di mana potensi mereka untuk memasuki ABDB telah dinilai termasuk kecergasan fizikal, kepimpinan dan kebolehan berfikiran secara analitis.

ATAS & BAWAH: Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih menyempurnakan pelantikan pangkat pegawai kadet di majlis berkenaan.
ATAS & BAWAH: Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih menyempurnakan pelantikan pangkat pegawai kadet di majlis berkenaan.

pg03_160123_a

Daripada jumlah pegawai kadet berkenaan, 19 orang merupakan pegawai kadet lelaki dan 12 orang pegawai kadet wanita, ini termasuklah seorang penerima Biasiswa Pemerintah Tertinggi dan dua orang penerima Biasiswa ABDB.

Mereka akan menjalani latihan di Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan ABDB, di mana kebolehan kepimpinan, perwatakan dan intelek mereka akan dibangunkan dan diasah sebelum mereka ditauliahkan sebagai leftenan dan menyertai perkhidmatan masing-masing bagi latihan yang lebih khusus.

Pegawai-pegawai kadet berkenaan juga harus membuktikan bahawa mereka mampu untuk mencapai standard tinggi yang diperlukan dalam latihan pegawai ABDB dalam pelbagai bidang, daripada kecergasan fizikal dan kemahiran asas ketenteraan kepada analisis pengajian strategik dan doktrin ketenteraan moden.

Mereka yang berjaya melalui latihan selama 52 minggu itu bukan sahaja akan menjadi pegawai yang bertauliah di ABDB, tetapi mereka juga akan dianugerahkan dengan Diploma Kebangsaan dalam Kepimpinan dan Pengurusan serta berkelayakan sebagai pegawai-pegawai ‘range conducting.’