31 kadet bomba KUPU SB tamat kursus

31 kadet bomba KUPU SB tamat kursus

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Seramai 31 orang kadet bomba Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pengambilan ke-7 sesi 2015/2016, menerima Sijil Tamat Kursus Asas Kadet Bomba dan Penyelamat masing-masing dalam majlis yang diadakan di Dewan Ta’lim kolej berkenaan, di sini, hari ini.

Hadir bagi menyampaikan sijil-sijil kepada kadet-kadet bomba KUPU SB itu ialah Komandan Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat, Lambak Kanan, Awang Abdul Sufriyan bin Haji Abdul Hamid.

Kursus kadet bomba bagi para pelajar tersebut bertujuan untuk memenuhi visi dan misi KUPU SB iaitu melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan seimbang mengenai pengetahuan akademik dan praktikal dalam bidang kemahiran kebombaan.

Di samping itu, ia juga untuk melahirkan bakal-bakal guru yang mempunyai ketahanan jati diri yang kental dari segi mental, fizikal dan spiritual dalam menghadapi beban tugas-tugas di masa akan datang.

Selain itu, ia juga bagi mewujudkan pelajar atau bakal guru yang mempunyai semangat kerjasama perpaduan, toleransi, saling hormat-menghormati, tolong-menolong serta bersikap pemedulian tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Awang Mohd Iqbal ketika ditemu bual oleh Media Permata.
Awang Mohd Iqbal ketika ditemu bual oleh Media Permata.

Majlis ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan sebaik saja kadet bomba kolej menamatkan kursus mereka di semester dua dalam kursus kokurikulum II bagi pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Program Diploma Perguruan Ugama Seri Begawan.

Dalam pada itu, kursus ini juga berbentuk kegiatan akademik antara teori dan praktikal di mana ia merupakan salah satu kursus wajib diikuti dan terkandung dalam kursus yang ditawarkan di mana para pelajar wajib lulus dengan kiraan satu kredit yang dibuat seminggu sekali di Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat, Berakas.

Sementara itu, dalam temu bual media bersama dua orang kadet yang menerima sijil mereka pada majlis itu melahirkan rasa syukur dan gembira kerana telah berjaya menamatkan Kursus Asas Kadet Bomba dan Penyelamat.

Pelajar tahun dua, jurusan Sarjana Muda Perguruan Syariah, Awang Mohd Iqbal bin Awang Sidik berkata, dalam banyak kursus kokurikulum yang diikuti di kolej ini, pemilihan kadet bomba ini dibuat disebabkan minat yang mendalam sejak kecil untuk memasuki pasukan beruniform.

Katanya, peluang yang diberikan oleh kolej digunakan sebaiknya untuk menimba ilmu dalam pasukan beruniform sebagai kadet bomba.

Menurut beliau, melalui kursus tersebut mereka telah mempelajari banyak perkara termasuk maksud pangkat-pangkat yang terdapat di Jabatan Bomba dan Penyelamat, di samping mengetahui dengan lebih lanjut mengenai fungsi dan peranan mereka.

Manakala temu bual bersama Dayang Erna Safrena binti Mustafa, pelajar tahun dua dalam jurusan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Syariah mengongsikan faedah yang diperoleh melalui kursus ini yang dapat melatih diri untuk menjadi seorang yang berdisiplin dan tegas.

Selain membina jati diri, kursus ini juga mengajar ciri-ciri untuk menjadi seorang guru yang memerlukan keberanian untuk berhadapan dengan masyarakat.

“Di samping mengikuti latihan praktikal seperti berkawad, kursus selama satu semester ini juga merangkumi latihan teori dan pengajaran mengenai pertolongan cemas,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA