31 tamat Kursus Maktab Turus 5 ABDB

31 tamat Kursus Maktab Turus 5 ABDB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Seramai 31 orang peserta berjaya menamatkan dan menerima sijil mereka bagi Kursus Maktab Turus 5 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Tahun 2015 (CSC ABDB 5) dengan majlis penutup kursus dan penyampaian sijil berlangsung di Auditorium Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta kursus ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, komandan-komandan, pengarah-pengarah, pesuruhjaya, duta dan wakil-wakil kedutaan dan negara-negara sahabat yang berkenaan serta jemputan khas.

Kursus Maktab Turus pada tahun ini telah melibatkan penyertaan 13 orang pegawai-pegawai dari ABDB, seorang pegawai daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, seorang pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan 16 orang pegawai tentera dari Australia, Bangladesh, Republik Rakyat China, India, Republik Indonesia, Malaysia, New Zealand, Kesultanan Oman, Republik Islam Pakistan, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih menyampaikan Anugerah Massey University Award for Academic Excellence kepada Ketua Skuadron, Alan Bowers.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih menyampaikan Anugerah Massey University Award for Academic Excellence kepada Ketua Skuadron, Alan Bowers.
Di antara peserta-peserta kursus dari Brunei dan pelbagai negara yang diraikan pada majlis itu, kelmarin.
Di antara peserta-peserta kursus dari Brunei dan pelbagai negara yang diraikan pada majlis itu, kelmarin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan ucapan oleh Dato Paduka Haji Mustappa yang juga menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta kursus Maktab Turus 5 ABDB. Majlis kemudian menyaksikan penyampaian anugerah khas kepada penuntut-penuntut terbaik yang disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih.

Pemenang Anugerah RBAF CSC Overall Excellence iaitu anugerah yang diberikan kepada penuntut kursus yang mencapai keputusan tertinggi secara menyeluruh dalam komponen-komponen pembelajaran tentera dan akademik yang dinilai ialah Mejar Eric Ng Weng On dari Tentera Udara Singapura.

Pemenang Anugerah ‘Massey University Award for Academic Excellence’ iaitu anugerah diberikan oleh Massey University, New Zealand kepada penuntut kursus yang mencapai keputusan tertinggi dalam penulisan esei-esei akademik di sepanjang kursus ialah Ketua Skuadron Alan Bowers dari Tentera Udara Diraja Australia.

Pemenang Anugerah ‘RBAF CSC Commendation’ iaitu anugerah yang diberikan kepada penuntut kursus yang bukan sahaja mencapai keputusan yang baik dari segi pembelajaran tentera dan akademik, tetapi juga memberikan sumbangan secara menyeluruh terhadap tanggungjawab dalam membantu pelaksanaan dan kesejahteraan kursus ialah Mejar (U) Mohammed Hairy Erwandy bin Haji Raya dari Tentera Udara Diraja Brunei.

Mejar Eric Ng dalam temu bual bersama Media Permata berkata, bahawa anugerah yang diterimanya itu, melambangkan usaha keras yang dilakukan oleh kesemua peserta kursus kerana mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran di mana mereka semua harus mencapai kesepakatan untuk memahami keadaan dunia dari segi pertahanan dan ketenteraan.

ARTIKEL YANG SAMA