310 amil terima tauliah

310 amil terima tauliah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Laporkan segera kepada pihak polis dan Jabatan Majlis Ugama Islam jika berlaku kehilangan kutipan wang zakat semasa dalam simpanan mereka, sama ada akibat kecurian atau tercicir atau akibat kecuaian amil sendiri.

Perlu diingatkan, kegagalan amil melaporkan kehilangan wang zakat boleh menimbulkan prasangka bahawa amil tersebut telah menyalahgunakan atau menyelewengkan kutipan wang zakat tersebut untuk keperluan peribadi.

Inilah pesanan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Tauliah Amil-amil Seluruh Negara Bagi 2015/2016 Masihi yang berlangsung di Jame Asr’ Hassanil Bolkiah, hari ini.

Pada tahun ini seramai 310 amil telah dilantik bagi 140 tempat mengutip zakat di seluruh negara, dengan 179 amil dilantik bagi 80 tempat mengutip zakat di Daerah Brunei dan Muara, 26 amil bagi 15 tempat mengutip zakat di Daerah Belait, 44 amil bagi 29 tempat mengutip zakat di Daerah Tutong dan seramai 22 orang amil bagi 12 tempat mengutip zakat bagi Daerah Temburong.

Menurut Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad, tugas dan tanggungjawab selaku amil zakat walaupun nampak mudah, sebenarnya adalah mencabar kerana untuk menjadi seorang amil pertama sekali mereka hendaklah berniat kerana Allah, bukannya untuk mendapatkan upah amil, kesenangan duniawi atau kebendaan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan surat tauliah pelantikan kepada salah seorang amil yang dilantik.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan surat tauliah pelantikan kepada salah seorang amil yang dilantik.

Terdapat beberapa ciri penting yang perlu ada dalam diri seorang amil, antaranya adil iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya, jujur dan amanah dengan menghindarkan perbuatan khianat, dedikasi dan penuh komitmen dengan sedaya upaya melayan umat Islam yang mengeluarkan wang zakat dengan penuh sopan serta bertanggungjawab dan bersikap taat kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, sistem zakat diakui telah banyak memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini dan zakat diagihkan untuk membantu asnaf fakir miskin bagi memenuhi keperluan asas mereka.

Antara bentuk agihan wang zakat ialah wang bagi keperluan asasi makanan, pelajaran anak-anak, agihan wang bulanan dan bayaran sewa rumah dan pemberian wang zakat dalam bentuk pembinaan dan membaiki rumah-rumah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Daerah.

Dalam keadaan tertentu pula, katanya, agihan wang zakat juga berbentuk bayaran rawatan dan perubatan bagi mereka yang tidak memperoleh keistimewaan rawatan percuma daripada kerajaan.

Terdahulu, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop melaporkan peningkatan dalam jumlah kutipan zakat fitrah dan zakat harta serta jumlah mereka yang mengeluarkan zakat pada 2014 berbanding kutipan pada 2013.

Bagi zakat fitrah, jumlah kutipan zakat pada 2014 meningkat sebanyak 2.33 peratus kepada $927,297.87 berbanding $905,693.54 pada 2013 manakala jumlah pengeluar zakat bagi tempoh 2014 juga meningkat sebanyak 2.11 peratus kepada 329,475 orang berbanding 322,534 orang pada 2013.

Bagi zakat harta pula, jumlah kutipan zakat pada 2014 meningkat sebanyak 8.61 peratus kepada $16,923,245.71 berbanding $15,466,076.30 pada 2013 manakala jumlah pengeluar zakat bagi tempoh 2014 juga meningkat sebanyak 7.60 peratus kepada 4,489 orang berbanding 4,148 orang pada 2013.

ARTIKEL YANG SAMA