315 unit darah dikumpul sejak Ramadan

315 unit darah dikumpul sejak Ramadan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Sejak bermula Bulan Ramadan, Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, (RIPAS) telah berjaya untuk mengumpul sebanyak 315 unit darah hasil daripada kempen derma darah dianjurkan.

Kempen serupa akan diadakan di Daerah Tutong pada 2 Julai di Kawasan Lobi, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong bermula dari jam 8:30 hingga 10:30 malam, di Daerah Belait pada 14 Julai di KB Sentral, Belait bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang, dan di Daerah Temburong pada 28 Julai di Pusat Belia Bangar, Temburong bermula dari jam 9 hingga 11:30 pagi.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusan sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2016 dipetik menyampaikan penghargaan dan memberi penghormatan kepada lelaki dan wanita di negara ini yang telah tampil menderma darah.

Yang Berhormat Dato memberitahu, pada tahun 2015 seramai 15,183 orang penderma darah telah mendaftar di Pusat Pendermaan Darah termasuklah 3,160 penderma darah yang baru.

“Dalam usaha untuk memastikan bekalan ini masih mencukupi, selamat dan mapan, kami menjemput lebih ramai penderma untuk tampil ke hadapan,” kata beliau.

Antara mereka yang menderma darah semasa kempen yang diadakan.
Antara mereka yang menderma darah semasa kempen yang diadakan.

Beliau seterusnya berkata, Kementerian Kesihatan serta rakan kongsi dari agensi-agensi jabatan kerajaan, institusi pendidikan, pasukan beruniform, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terus bekerjasama menyelaras dan mengendalikan kempen menderma darah di negara ini.

Kementerian Kesihatan sentiasa mengalu-alukan kedatangan penderma untuk menderma darah secara sukarela dan mengharapkan supaya lebih ramai orang lagi tampil ke hadapan untuk menderma darah terutamanya untuk membantu pesakit yang memerlukannya.

Kempen derma darah yang terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan itu diadakan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menderma darah secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan.

Kempen itu juga diharap dapat menambahkan lagi stok bekalan darah di pusat berkenaan bagi menampung penggunaan darah di sepanjang bulan Ramadan ini.

ARTIKEL YANG SAMA