316 kes kemalangan direkodkan

316 kes kemalangan direkodkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Sebanyak 316 kes kemalangan jalan raya termasuk lima kes yang melibatkan kematian telah dilaporkan bagi Februari 2016.

Jumlah ini telah meningkat sebanyak 73 kes berbanding tahun 2015 dalam tempoh yang sama, menurut Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Polis Diraja Brunei dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan bersama kenyataan berkenaan, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu sebanyak 223 kes termasuk tiga kes melibatkan kematian; satu kematian dicatatkan dalam kemalangan sendiri (kereta), satu dalam kemalangan kereta dengan pejalan kaki dan satu lagi dalam kemalangan di antara jentera berat dan orang (pekerja).

Manakala itu, Daerah Belait mencatatkan sebanyak 55 kes termasuk satu kes melibatkan kematian dalam kemalangan sendiri (motosikal), Daerah Tutong sebanyak 31 kes termasuk satu kes melibatkan kematian dalam kemalangan kereta dengan kereta, dan Daerah Temburong pula mencatatkan tujuh kes.

Daripada jumlah itu juga, kemalangan kereta dengan kereta termasuk kes langgar belakang mencatat jumlah tertinggi sebanyak 180 diikuti dengan kemalangan sendiri (kereta) sebanyak 99 kes.

Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya, turut memaklumkan bahawa 679 kes pelbagai kesalahan lalu lintas telah direkodkan melalui 60 operasi penguatkuasaan lalu lintas.

JSKLL Gadong merekodkan 647 kes menerusi 53 operasi dan JSKLL cawangan Batu 3, Belait mencatatkan 32 kes dalam tujuh operasi.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 162 adalah kes doket dan 517 lagi merupakan kes kompaun. Kesalahan tertinggi yang dicatatkan adalah cukai jalan tamat tempoh sebanyak 102 , diikuti dengan kesalahan tidak menampal cukai jalan di sebelah kiri cermin depan dan meletakkan kenderaan di tempat yang bukan dikhaskan, masing-masing sebanyak 56 kes.

Sehubungan itu, Polis Diraja Brunei menekankan kepada para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini, di samping itu sentiasa meningkatkan keselamatan serta berhati-hati ketika berada di jalan raya terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

ARTIKEL YANG SAMA