316 kes lalu lintas minggu pertama Sept

316 kes lalu lintas minggu pertama Sept

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Sebanyak 316 kes pelbagai kesalahan lalu lintas telah dicatatkan dalam lapan operasi dan rondaan penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam minggu pertama bulan September.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sebanyak 296 kes telah direkodkan oleh JSKLL Gadong dalam enam operasi manakala itu, JSKLL Cawangan Batu 3 pula merekodkan 20 kes dalam dua operasi.

Daripada jumlah berkenaan 51 merupakan kes doket dan 265 kes kompaun yang mana kesalahan tertinggi yang dicatatkan adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan sebanyak 169 kes.

Sementara itu, dalam tempoh yang sama sebanyak 59 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan termasuk satu kes yang melibatkan kematian di antara sebuah kereta dan penunggang basikal.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan JSKLL, sebanyak 44 kes kemalangan dilaporkan di Daerah Brunei dan Muara, lapan di Daerah Tutong, lima di Daerah Belait dan dua lagi di Daerah Temburong.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi menekankan para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini serta meningkatkan keselamatan dan berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya akan memandu dengan berhati-hati, berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan serta sentiasa mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah demi sama-sama menjaga keselamatan semua ketika di jalan raya.

ARTIKEL YANG SAMA