32 belia jelajahi hutan Kampung Bebuloh

32 belia jelajahi hutan Kampung Bebuloh

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 29 Ogos – Seramai 32 orang belia dari Badan Belia Ibadur Rahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) kelmarin mengadakan Aktiviti Pembangunan Belia Menjelajah Hutan di Kampung Bebuloh, Mukim Pengkalan Batu dengan kerjasama Perkhidmatan Rekreasi Luar dan Perkhemahan Bebuloh Eco Trail.

Aktiviti dimulakan dengan menunaikan sembahyang fardu Subuh berjemaah, bersarapan pagi dan seterusnya memanaskan badan sebelum taklimat mengenai keselamatan dan pengajaran yang didapati sebelum dan selepas merentasi hutan yang disampaikan oleh ahli jawatankuasa Bebuloh Eco Trail.

Hadir mengetuai rombongan memasuki hutan di kawasan itu ialah Ketua Belia Ibadur Rahman MHBPT, Awang Muhammad Azlin bin Azlani. Turut menyertai aktiviti itu ialah ahli jawatankuasa belia masjid Ibadur Rahman MHBPT dengan kerjasama ahli jawatankuasa Bebuloh Eco Trail.

Semasa mendaki bukit-bukau, para belia masjid juga berkesempatan menerokai flora dan fauna di samping menghirup udara segar di dalam hutan.

Anggota Belia Ibadur Rahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) semasa mengadakan Aktiviti Pembangunan Belia Menjelajah Hutan di Kampung Bebuloh.
Anggota Belia Ibadur Rahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) semasa mengadakan Aktiviti Pembangunan Belia Menjelajah Hutan di Kampung Bebuloh.

Aktiviti sempena Ulang Tahun Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong ini diadakan bagi membina kemahiran hidup, sifat kepimpinan dan pembangunan jati diri dalam kalangan belia selain mengeratkan ukhuwah dengan membantu rakan-rakan yang lain semasa mengharungi cabaran dan kesulitan.

Selain itu juga, para belia dapat menguatkan stamina, ketahanan fizikal dan kecerdasan mental terutama dalam menjelajah dan meneroka hutan serta mempelajari keindahan ciptaan Allah seperti flora dan fauna di dalam hutan di negara ini.

Aktiviti ini juga salah satu inisiatif untuk ahli belia menjadi lebih aktif dalam masyarakat, khususnya para penuntut supaya dapat mengurangkan tekanan sebelum peperiksaan pada akhir tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA