32 buah keluarga terima sumbangan Yayasan

32 buah keluarga terima sumbangan Yayasan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dengan kerjasama rakan strategik Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam (4WD NBD) yang menyediakan pengangkutan, meneruskan lagi projek amal hari ini.

Mereka mengagihkan sumbangan berbentuk kewangan, barangan keperluan asasi dan makanan kepada 32 buah keluarga kurang berkemampuan dan memerlukan di Daerah Brunei dan Muara yang keseluruhannya berjumlah $42,566.76.

Rombongan Projek Amal itu diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan yang juga Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan turut disertai Pengarah Urusan Yayasan Haji Brahim bin Haji Ismail, pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.

Salah seorang penerima dari STKRJ Lambak Kiri, Awang Anak bin Darahman melahirkan perasaan syukur terpilih menerima bantuan itu.

Menurutnya, ia dapat meringankan beban menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan datang. Beliau merupakan warga emas yang sudah lama berpencen dan hanya menerima elaun tua sebanyak $250 sebulan dan mempunyai sembilan orang anak dan menanggung hampir kesemua anak-anak beliau yang masih belum bekerja.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan sumbangan Yayasan kepada salah sebuah keluarga.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan sumbangan Yayasan kepada salah sebuah keluarga.

Manakala Ketua Kampung STKRJ Kampung Lambak Kiri, Haji Hamdani bin Haji Umar turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan atas sumbangan yang dihulurkan bagi meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan. Menurutnya, sebanyak lima buah keluarga di kampung itu tahun ini terpilih menerima sumbangan.

Yayasan juga turut menyumbangkan peralatan keperluan pesakit khusus untuk sebahagian penerima yang memerlukan, bantuan modal perusahaan perniagaan kepada sebahagian keluarga bertujuan meningkatkan taraf kehidupan keluarga dan juga bantuan tambahan bilik aras bawah bagi penerima (pesakit) yang memerlukan.

Projek amal ini bertujuan membantu keluarga dalam persiapan menyediakan keperluan keluarga dalam bulan Ramadan ini agar mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna dan diharapkan dapat menyediakan keperluan menjelang Hari Raya nanti.

Ia telah bermula di Daerah Temburong pada 15 Jun lalu dan Daerah Belait pada 21 Jun. Daerah Tutong akan menyusul tidak lama lagi.

ARTIKEL YANG SAMA