32 pain darah berjaya dikumpul

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Sebanyak 32 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah anjuran Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) yang berlangsung di perpustakaan sekolah berkenaan, hari ini.

Kempen dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu disertai oleh warga sekolah dan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga penuntut sekolah berkenaan.

Antara lain tujuan kempen adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan darah serta bagi membantu menambahkan simpanan tabung darah di negara ini.

Dua warga sekolah yang tidak melepaskan peluang menyertai kempen berkenaan yang sempat ditemu bual, Dayang Nursyafikah Al-Wani binti Abdul Wahid dan Dayang Adizza Rehanizan binti Anuar telah berkongsi pengalaman mereka menderma darah.

Dayang Nursyafikah Al-Wani berkata, ini merupakan pengalaman pertama beliau menderma darah walaupun terdapat sedikit gementar tapi cuba mengawal perasaan itu.

Antara yang menyertai dalam kempen derma darah tersebut.

Beliau menjadikan pengalaman pertama ini sebagai dorongan dan semangat untuk mencapai hasrat untuk menjadi salah seorang penderma aktif dalam membantu tabung darah hospital seterusnya membantu orang yang memerlukannya.

Manakala itu, bagi Dayang Adizza Rehanizan pula, ini merupakan kali kedua beliau menderma darah setelah yang pertama pada tiga tahun lalu di Hospital RIPAS.

Menurutnya, pada kali pertama menderma darah, badan beliau terasa segar dan sihat yang membuatnya berasa bersemangat untuk menyertai derma darah buat kali kedua, di samping mengetahui ia juga salah satu cara untuk membantu orang-orang yang memerlukan darah terutama apabila berlaku kemalangan.

“Selain itu, beliau juga berharap akan menjadi salah seorang penderma aktif seterusnya membantu menambah jumlah simpanan darah untuk Tabung Darah Hospital RIPAS,” tambahnya.

Kajian mendapati, kandungan zat besi dalam darah pada tahap optimum dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.

Menderma darah dapat mengurangkan sedikit zat besi dalam darah selain membantu badan mengawal tahap kolesterol.