32 pegawai tentera sertai Kursus Maktab Turus ABDB

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seramai 32 orang pegawai tentera mengikuti Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-8 yang telah bermula hari ini dengan majlis perasmiannya di Akademi Pertahanan ABDB, Tanah Jambu.

Perasmian kursus telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemangku Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pengarah-pengarah, pemangku timbalan pengarah operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), komandan-komandan, pegawai-pegawai dan anggota Akademi Pertahanan ABDB.

Peserta kursus berkenaan terdiri daripada pegawai-pegawai tentera dari India, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Oman, Pakistan, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat, di samping itu, pegawai-pegawai dari PDB dan JKDN turut menyertai kursus tersebut. Tahun ini merupakan kali pertama kursus berkenaan disertai oleh Arab Saudi.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih dalam ucapannya di majlis berkenaan telah menekankan bahawa kerjasama global seumpamanya adalah sangat penting dilaksanakan dalam usaha bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi pada masa kini dan memperkukuhkan hubungan antara negara yang terlibat.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih ketika bergambar ramai bersama peserta Kursus Maktab Turus.

Sementara itu, peserta dari Arab Saudi, Leftenan Komander Sultan Fahad AlQabtani ketika ditemui Media Permata telah melahirkan perasaan sungguh bertuah dan berbesar hati kerana telah terpilih mewakili Royal Saudi Naval Force dalam kursus berkenaan.

Menurutnya, beliau merasa sungguh selesa dan teruja berada di negara ini seolah-olah berada di negaranya sendiri apabila diberikan layanan baik sepanjang keberadaannya di sini.

Beliau juga menambah akan menggunakan sebaik mungkin peluang dan kesempatan dalam kursus ini bagi menambah pengetahuannya serta mengambil sebanyak mungkin pengalaman sepanjang kursus ini berlangsung.

Kursus Maktab Turus ABDB akan berjalan selama 40 minggu dan dikendalikan dengan kerjasama Universiti Massey, New Zealand.

Ia bertujuan untuk memperluaskan pengetahuan profesional dan akademik di samping mempertingkatkan kemahiran arahan, analisis dan komunikasi pegawai-pegawai peringkat pertengahan bagi mempersiapkan mereka untuk menjawat jawatan-jawatan pemerintah dan staf yang lebih tinggi.