32 penghijrah maut di luar Libya

32 penghijrah maut di luar Libya

DI KAPAL ASTRAL, Itali, 5 Okt – Kira-kira 32 penghijrah yang menuju ke Eropah telah ditemui maut pada hari penyelamatan terburu-buru luar Libya kelmarin, kata jurugambar AFP yang menaiki salah sebuah bot penyelamat.

Jurugambar berkata hari ini bahawa kira-kira 29 orang terkorban dalam asakan di dalam bot getah dingi yang penuh sesak dan tiga lagi meninggal dunia dalam bot kayu besar yang membawa antara 700 hingga 1,000 orang.

Pengawal pantai Itali – yang menyelaras usaha menyelamat di perairan antarabangsa utara Libya – berkata lewat kelmarin bahawa 28 mayat telah ditemui di sepanjang 33 operasi kelmarin, sementara 4,655 penghijrah telah diselamatkan.

Jurugambar berkenaan telah menaiki Astral, sebuah kapal yang disewa oleh NGO Sepanyol ProActiva Open Arms, yang membantu usaha menyelamat penghijrah di laut.

Para penghijrah yang diselamatkan oleh anggota NGO Proactiva Open Arms di Laut Mediterranean, 12 batu nautika utara Libya pada 4 Oktober. – AFP
Para penghijrah yang diselamatkan oleh anggota NGO Proactiva Open Arms di Laut Mediterranean, 12 batu nautika utara Libya pada 4 Oktober. – AFP

Ia satu lagi drama pada hari itu di lautan selepas lebih 6,000 penghijrah, kebanyakan daripada mereka warga Afrika dipadatkan dalam dingi getah, telah diselamatkan di luar Libya pada Isnin. Sembilan mayat telah ditemui dalam operasi tersebut.

Dengan banyaknya bot penyelamat menuju ke Itali untuk mengambil sekumpulan penghijrah pada Isnin, Astral dibiarkan sendirian untuk menangani bot kayu penuh sesak itu selama beberapa jam.

Ia hanya dibantu oleh bot penyelamat yang digugurkan oleh pesawat tentera Sepanyol sehingga askar laut tiba pada tengah hari. Berlaku kepanikan, dengan ramai orang terjun ke dalam air, menurut jurugambar. Operasi menyelamat Astral bermula sebelum subuh dan berakhir hingga senja. – AFP