321 pelajar SPA diraikan dalam majlis khatam

321 pelajar SPA diraikan dalam majlis khatam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Seramai 321 orang pelajar Tahun 6, Sekolah Persediaan Arab (SPA) Bandar Seri Begawan, hari ini, telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Para peserta menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Rusita binti Haji Yahya. Turut hadir ialah guru-guru agama dan ibu bapa serta para penjaga murid-murid yang diraikan.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan surah-surah daripada para peserta khatam, kemudian disusuli dengan bacaan Takhtim murid-murid Tahun 5 serta disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Murid Tahun 6, Dayang Nur Azzuhaira binti Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz.

Para peserta khatam yang terdiri daripada pelajar Tahun 6, Sekolah Persediaan Arab.
Para peserta khatam yang terdiri daripada pelajar Tahun 6, Sekolah Persediaan Arab.

Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban dan diselajurkan dengan penyampaian sijil khatam kepada para peserta.

Selain mendukung hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir menuju ke arah Baldatun Tayyibatun Warrabun Ghafur, majlis tersebut juga merupakan satu penghargaan kepada para pelajar Tahun 6 yang telah berjaya menghabiskan bacaan Al-Quran 30 Juzuk serta menggalakkan para pelajar sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran bagi mendapatkan berkat dan rahmat Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA