324 pelajar lanjutkan pengajian di UNISSA

324 pelajar lanjutkan pengajian di UNISSA

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Seramai 324 orang pelajar ijazah dan lepas ijazah telah diterima masuk untuk melanjutkan pengajian mereka di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan, hari ini, mereka mula mengikuti Minggu Ta’aruf Pelajar Baru bagi sesi pengajian 2016/2017 yang akan berlangsung selama lima hari sehingga 29 Julai ini.

Minggu Ta’aruf yang dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) itu bermula dengan pendaftaran kemasukan yang berlangsung di Auditorium UNISSA, hari ini.

Antara objektif Minggu Ta’aruf ini adalah untuk melatih minda, kekuatan fizikal dan mental serta disiplin dan keyakinan diri, membina mahasiswa dan mahasiswi dengan ciri kepimpinan, memupuk semangat serta kerjasama dan tolong menolong dalam diri mahasiswa dan mahasiswi dan mempersiapkan serta membiasakan diri dengan suasana universiti.

Salah seorang pelajar baru yang ditemui, Dayang Nur Muizah Syariah binti Haji Mohd Yassin, 18, berkata bahawa sudah menjadi harapannya untuk mengikuti pengajian di UNISSA dan impian tersebut tercapai apabila berjaya diterima masuk dan menjadi salah seorang pelajar dalam jurusan Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah.

Antara pelajar baru yang berjaya mengikuti pengajian di UNISSA dalam pelbagai bidang.
Antara pelajar baru yang berjaya mengikuti pengajian di UNISSA dalam pelbagai bidang.
Awangku Muhd Al-Israa’ bersama ibu dan ayah beliau pada Pendaftaran Kemasukan di Minggu Ta’aruf.
Awangku Muhd Al-Israa’ bersama ibu dan ayah beliau pada Pendaftaran Kemasukan di Minggu Ta’aruf.
Dayang Nabilah Fatin Aniah dan Dayang Nur Muizah Syariah, pelajar baru dalam bidang Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah.
Dayang Nabilah Fatin Aniah dan Dayang Nur Muizah Syariah, pelajar baru dalam bidang Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah.

Beliau melahirkan harapan bahawa dengan langkah permulaan ini, ia akan menjadi pemangkin untuk terus maju seterusnya berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di luar negara dalam jurusan yang sama.

Dayang Nabilah Fatin Aniah binti Haji Johani pula menyatakan perasaan syukur kerana berjaya terpilih menjadi salah seorang pelajar dalam jurusan Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah.

Menurutnya lagi, pemilihan jurusan ini disebabkan minat di samping melihat peluang pekerjaan terhadap bidang perundangan terutamanya perundangan Islam, yang katanya mendapat sambutan menggalakkan.

Di samping pendaftaran masuk para mahasiswa-mahasiswi, Minggu Ta’aruf ini akan diisi dengan Majlis Amanat dan Ikrar pelajar baru, ceramah motivasi dan tazkirah, aktiviti-aktiviti keagamaan, aktiviti kepimpinan, lawatan sekitar kampus dan Program Minal Jami’ah dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA