325 graduan Politeknik Brunei terima sijil 28 Januari

325 graduan Politeknik Brunei terima sijil 28 Januari

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Seramai 325 orang pelajar daripada sesi pengambilan ketiga bagi tahun pengajian 2013 akan menerima sijil Diploma Lanjutan masing-masing pada Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Kali Kedua 2016 yang akan berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada 28 Januari 2016.

Sehubungan itu, Politeknik Brunei dalam satu kenyataan hari ini, meminta pihak-pihak yang berkaitan supaya mengambil perhatian akan tarikh baru itu setelah dipinda daripada tarikh asal yang ditetapkan pada 21 Januari 2016, seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Graduan yang akan diraikan itu adalah para pelajar yang telah tamat program pengajian selama dua tahun yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah Politeknik Brunei, iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Informasi Komunikasi dan Teknologi (ICT) dan Sekolah Sains dan Kejuruteraan.

Diploma Lanjutan yang akan diperoleh adalah sebanding dengan kelulusan BTEC Higher National Diploma (HND) dan diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan, melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK).

Bersempena dengan majlis konvokesyen itu, beberapa acara akan diadakan, antaranya Majlis Khatam Al-Quran dan Karnival Konvo Politeknik Brunei 2016.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom (tengah) mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah semasa Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, kelmarin.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom (tengah) mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah semasa Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, kelmarin.

Majlis Khatam Al-Quran berlangsung hari ini di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Madang, Manggis dan disertai seramai 181 pelajar yang bakal memperoleh sijil masing-masing.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar bersama isteri, Datin Hajah Jama’iah binti Haji Abdul Manap.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohammad Yusof, timbalan-timbalan setiausaha tetap di kementerian itu, ahli Lembaga Pengelola Politeknik Brunei, para pengarah dan ketua jabatan serta Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, selaku Pengerusi Majlis.

Majlis Khatam Al-Quran hari ini merupakan salah satu acara kemuncak menjelang Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Kali Kedua Tahun 2016 bagi bakal–bakal graduan pengambilan ketiga, bertujuan memartabatkan Al-Quran sebagai dasar segala ilmu di samping mengambil berkat di atas Wahyu Allah S.W.T itu. Sementara itu, pesta Karnival Konvo Politeknik Brunei 2016 akan diadakan di tempat letak kereta Jalan Bendahara, Bandar Seri Begawan (berdepan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja) bermula 15 hingga 19 Januari 2016.

Antara program dan aktiviti yang telah disusun pihak penganjur termasuk pameran, persembahan kebudayaan dan jualan barang makanan dan barangan daripada pengusaha dan peniaga tempatan serta orang ramai. Orang ramai adalah dialu-alukan hadir bagi sama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

Pesta Karnival Konvo Politeknik Brunei Kali Kedua akan membuka tirainya pada 15 Januari 2016 dengan Acara Pembukaan Rasmi Karnival konvo Politeknik Brunei 2016.

Acara persembahan pentas, Malam Budaya ASEAN, dijadualkan pada 16 Januari 2016 yang akan menghidangkan persembahan-persembahan nyanyian, tarian dan permainan alat muzik tradisional oleh perwakilan dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Negara Brunei Darussalam.

Pada hari ketiga Karnival Konvo Politeknik Brunei akan diadakan Hari Keluarga dan Pertunjukan Kereta yang mana para pengunjung berpeluang melakukan beberapa aktiviti menarik, antaranya menyertai acara senamrobik, melawat ke pameran kereta lama, motosikal berkuasa tinggi.

Persembahan pentas Sketsa Komedi oleh barisan artis tempatan akan menemui para pengunjung pada pukul 8 malam 17 Januari (hari keempat), manakala pada 18 Januari Malam Silaturahim Institusi Pengajian Tinggi akan mengambil tempat sekitar pukul 8 malam.

Antara acara persembahan pada malam itu ialah persembahan pentas oleh para perwakilan dari Politeknik Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Institut Teknologi Brunei,Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Gerai jualan dan pameran akan diadakan pada hari terakhir pesta Karnival Konvo Politeknik Brunei yang mana para pengunjung akan berkesempatan melihat pameran dan menikmati juadah di gerai jualan bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam sambil berhibur menonton acara pementasan drama dan sketsa persembahan artis tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA