325 graduan terima sijil Diploma Lanjutan

325 graduan terima sijil Diploma Lanjutan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Seramai 325 orang graduan, termasuk 143 orang lelaki dan 182 orang perempuan, telah diraikan dan menerima sijil Diploma Lanjutan masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei (PB) Ke-2 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil-sijil ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya pada majlis itu antara lain berkata, PB bergerak di atas landasan yang betul kerana melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Politeknik Brunei, iaitu Kajian Pengesahan Graduan bagi kohort pertama dan kedua dalam konvokesyen pertama tahun lalu telah menunjukkan bahawa sebanyak 77 peratus daripada jumlah graduan telah memperoleh pekerjaan atau telah melanjutkan pelajaran mereka.

Ini, katanya, adalah pencapaian yang baik terutama bagi sebuah institusi yang baru berusia empat tahun.

Menteri Pendidikan ketika hadir pada majlis konvokesyen berkenaan.
Menteri Pendidikan ketika hadir pada majlis konvokesyen berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika memberikan ucapan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika memberikan ucapan.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik kepada Dayang Ida’ Iffah.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik kepada Dayang Ida’ Iffah.
Ibu bapa dan penjaga para graduan juga turut hadir pada majlis tersebut.
Ibu bapa dan penjaga para graduan juga turut hadir pada majlis tersebut.
Para graduan bersama sijil Diploma Lanjutan masing-masing.
Para graduan bersama sijil Diploma Lanjutan masing-masing.

“Walau bagaimanapun, kajian perlu diteruskan bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak majikan. Kajian ini akan memastikan sama ada para graduan Politeknik Brunei tersebut benar-benar telah memenuhi kehendak atau jangkaan para majikan mereka.”

Maklum balas, ulas beliau lagi, sangat berguna sebagai semak dan imbang pelaksanaan dasar dan pengendalian program Politeknik Brunei serta untuk peningkatan prestasi dan kekukuhan nama Politeknik Brunei itu sendiri.

“Saya berharap agar Pelan Perancangan Lima Tahun Politeknik Brunei iaitu bagi tahun 2015-2020 pula, mengandungi program-program berkeupayaan untuk berkembang dengan dinamik dan progresif supaya boleh diperkembangkan mengikut aliran masa dan perkembangan sosial ekonomi; dan juga selaras dan mendukung pelan strategic Pengajian Tinggi Kementerian pendidikan.

“Program-program itu perlu disertai dengan modul-modul yang boleh membentuk dan membangkit semangat keusahawanan dalam kalangan para pelajar,” tambah Yang Berhormat Pehin lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Majlis Lembaga Pengelola PB, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan selaku Timbalan Pengerusi Majlis Lembaga Pengelola PB, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, ahli-ahli Majlis Lembaga Pengelola PB, naib-naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan dari Kementerian Pendidikan serta ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga pada graduan yang diraikan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan perarakan masuk graduan ke dalam dewan dan perarakan besar masuk ke dewan yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Lembaga Pengelola, ahli-ahli Senat, para pegawai utama dan pensyarah dari Politeknik Brunei dan seterusnya diikuti dengan kehadiran tetamu kehormat majlis.

Majlis kemudiannya diserikan dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran yang dibacakan oleh pemenang tempat ketiga dalam Pertandingan Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Asia Tenggara bagi tahun 1436 Hijrah yang juga pelajar pengambilan ke-5 dalam jurusan Diploma Lanjutan Perakaunan dan Kewangan dari Sekolah Perdagangan, Politeknik Brunei, Awangku Adi Nazri. Inti sari pula dibacakan oleh Graduan Diploma Lanjutan dalam Rangkaian Komputer, Awang Mohammad Zaini Miftah bin Haji Muslim.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Tausyeh dan gulintangan yang telah disembahkan oleh para pelajar Politeknik Brunei.

Daripada jumlah graduan yang diraikan, seramai 204 orang menerima sijil Diploma Lanjutan dalam jurusan Program Perdagangan, 97 dalam jurusan Program ICT, dan 24 lagi dalam jurusan Program Sains dan Kejuruteraan.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan anugerah pelajar terbaik kepada lima penerima, iaitu Dayang Ida’ Iffah binti Aminudin yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Akademik Cemerlang bagi Sekolah Perdagangan, Awangku Mohamad Waqiuddin bin Pengiran Amiruddin menerima Anugerah Akademik Cemerlang bagi Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Awang Aliff bin Ali memenangi Anugerah Cemerlang Aktiviti Pengayaan bagi Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dan Awang Imam Yahya bin Haji Murni pula diberikan Anugerah Cemerlang Aktiviti Pengayaan bagi Sekolah Sains dan Kejuruteraan.

Para graduan daripada sesi pengambilan ketiga, tahun pengajian 2013 berkenaan telah berjaya menamatkan program pengajian masing-masing selama dua tahun yang telah ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah Politeknik Brunei (PB) iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Informasi Komunikasi dan Teknologi (ICT), dan Sekolah Sains dan Kejuruteraan.

Diploma Lanjutan yang diperolehi diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) yang sebanding dengan kelulusan BTEC Higher National Diploma (HND).

ARTIKEL YANG SAMA