325 kes kemalangan dicatatkan Mei 2016

325 kes kemalangan dicatatkan Mei 2016

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Sebanyak 325 kes kemalangan jalan raya termasuk dua kes yang melibatkan kematian telah dilaporkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei bagi Mei tahun ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh JSKLL, hari ini, daripada jumlah berkenaan, Daerah Brunei dan Muara mencatat jumlah tertinggi sebanyak 233 kes, Daerah Tutong sebanyak 32 kes (satu kes melibatkan kematian), Daerah Belait sebanyak 58 kes (satu kes melibatkan kematian), manakala itu Daerah Temburong hanya mencatatkan satu kes kemalangan jalan raya.

Sementara itu, dari segi jenis kemalangan, mencatatkan jumlah tertinggi adalah, kemalangan melibatkan kereta dengan kereta sebanyak 182 kes, diikuti dengan kemalangan sendiri sebanyak 115 kes.

Dalam pada itu, bagi bulan Mei ini juga, JSKLL telah merekodkan sebanyak 633 kes pelbagai kesalahan lalu lintas daripada 52 operasi penguatkuasaan lalu lintas dengan JSKLL Gadong mencatatkan 536 kes bagi 42 operasi dan JSKLL Cawangan Batu 3, Belait sebanyak 97 kes bagi 10 kali operasi.Laporan hasil penguatkuasaan lalu lintas bagi Mei yang dikeluarkan JSKLL menunjukkan bahawa daripada jumlah keseluruhan kes berkenaan, sebanyak 60 adalah kes doket dan 573 lagi kes kompaun.

Kesalahan lalu lintas tertinggi yang dicatatkan adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan sebanyak 294 kes, diikuti dengan cukai jalan mansuh sebanyak 49 kes, meletakkan kenderaan di tempat yang bukan dikhaskan sebanyak 44 kes dan tidak menampal cukai jalan di sebelah kiri cermin hadapan sebanyak 41 kes, dan selebihnya melibatkan pelbagai kesalahan lain.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya sekali lagi menekankan kepada para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini di samping itu sentiasa meningkatkan keselamatan di jalan raya terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.