33 nelayan terima alat GPS

33 nelayan terima alat GPS

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Dengan hasrat untuk meningkatkan dan memantapkan lagi kaedah menangkap ikan, Jabatan Perikanan telah menghulurkan bantuan berupa alat sistem kedudukan global (GPS) kepada para nelayan kecil-kecilan.

Penyerahan bantuan berkenaan telah diadakan di Majlis Penyampaian Sijil Kursus Penggunaan GPS dan Penyerahan GPS Kepada Nelayan Kecil-Kecilan Penuh Masa di Kompleks Perikanan Muara, Jabatan Perikanan, hari ini.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil dan alat GPS kepada para penerima ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim.

Seramai 33 nelayan kecil-kecilan sepenuh masa yang aktif dan berlesen dengan Jabatan Perikanan telah menyertai kursus dan menerima GPS mereka di majlis berkenaan.

Penyerahan GPS itu merupakan salah satu skim bantuan perikanan dengan hasrat untuk meningkatkan dan memantapkan lagi kaedah menangkap ikan kepada nelayan-nelayan tempatan.

Hajah Hasnah yang menghadiri majlis berkenaan.
Hajah Hasnah yang menghadiri majlis berkenaan.

Alat GPS merupakan peralatan navigasi yang mempunyai teknologi terkini dan amat berguna kepada nelayan untuk membantu navigasi mereka semasa berada di laut untuk keselamatan mereka serta untuk mengetahui lokasi lawa-lawa atau bubu yang dilabuh dengan lebih efisien dan menjimatkan masa serta minyak.

GPS itu boleh digunakan oleh nelayan-nelayan untuk mengetahui kedudukan kawasan larangan menangkap ikan seperti lokasi kawasan perlindungan marin dan zon keselamatan di pelantar-pelantar minyak di perairan negara.

pg04_150505_b

Hajah Hasnah menyampaikan sijil dan alat GPS kepada para nelayan di majlis berkenaan.
Hajah Hasnah menyampaikan sijil dan alat GPS kepada para nelayan di majlis berkenaan.

Terdahulu sebelum majlis penyampaian berkenaan, kursus penggunaan GPS dan taklimat mengenai Perintah Perikanan 2009 telah disampaikan kepada nelayan-nelayan berkenaan oleh wakil Jabatan Perikanan.

Para peserta didedahkan mengenai penggunaan dan tatacara GPS seperti mencari kedudukan dan kedalaman air serta untuk menandakan peta.

Skim bantuan perikanan itu diharap dapat memberikan manfaat dan faedah kepada nelayan bagi mendapatkan hasil tangkapan mereka secara sistematik dan efisien, di samping meningkatkan keselamatan mereka semasa di laut.

ARTIKEL YANG SAMA