33 sertai kursus jurulatih

33 sertai kursus jurulatih

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kursus Asas Kejurulatihan Olahraga 2016 anjuran Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF) berakhir hari ini dengan 33 orang pesertanya menerima sijil kehadiran masing-masing.

Hadir ke majlis penutupan kursus lima hari di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu dan menyempurnakan majlis penyampaian sijil ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan.

Kursus kali pertama itu diadakan untuk memberikan peserta ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejurulatihan pada tahap ‘orang baru bermula’ untuk mencapai sasaran iaitu menambah jurulatih di peringkat akar umbi di negara ini.

Kursus yang dimudahcara tenaga pengajar atau jurulatih yang mempunyai sijil kejurulatihan Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) itu diharap akan dapat membantu para peserta dalam banyak perkara seperti memahami proses kejurulatihan yang efektif.

Kursus juga diharap akan dapat menambah kemahiran intelektual, sosial, fizikal dan emosi kanak-kanak atau atlet muda, memantau setiap atlet mereka secara individu mengikut tahap perkembangan atlet, melatih dan membimbing kemahiran berpandukan prinsip dan proses kejurulatihan, merancang, mengendalikan dan melaksanakan sesi latihan.

Haji Azis (lima kanan) bergambar ramai bersama pemudahcara, peserta kursus dan jemputan khas yang lain.
Haji Azis (lima kanan) bergambar ramai bersama pemudahcara, peserta kursus dan jemputan khas yang lain.

Kursus itu sangat mustahak untuk diikuti memandangkan kurikulum yang dipelajari merupakan asas atau pengenalan yang perlu diketahui oleh setiap jurulatih olahraga sebelum melangkah ke tahap Kejurulatihan Prestasi Tinggi ataupun hingga ke Pengarah Kejurulatihan.

Selepas menyertai kursus berkenaan, para peserta akan melalui program pemantauan selama enam bulan dengan melatih sekurang-kurangnya seorang atlet muda dalam latihan sukan olahraga secara sistematik.

Selepas itu barulah peserta diberi sijil sama ada lulus atau sebaliknya.

Bagi mereka yang lulus sahaja yang akan dapat mengikuti Kursus Kejurulatihan Tahap 1 IAAF pada masa akan datang.

Kursus dengan sesi amali dan teori itu memuatkan tajuk-tajuk seperti pengenalan fungsi anatomi, pengenalan biomekanik, pengenalan fisiologi, kecederaan dan mencegah kecederaan, pendekatan terancang serta teknik latihan pelbagai acara olahraga balapan dan padang.

ARTIKEL YANG SAMA