33 terima anugerah penghargaan

33 terima anugerah penghargaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Negara Brunei Darussalam dan Pakistan mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, pertahanan dan kebudayaan.

Hubungan dua hala yang erat di antara kedua-dua negara bukan sahaja atas usaha pelbagai inisiatif dan kerjasama dua hala di antara kerajaan tetapi juga atas pertukaran, perkongsian, sumbangan serta khidmat bakti warga dan penduduk kedua-dua negara yang terus diperkukuhkan.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Pakistan ke-70 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Ahmed Ali Sirohey menyampaikan anugerah penghargaan kepada salah seorang penerima.
Ahmed Ali Sirohey menyampaikan anugerah penghargaan kepada salah seorang penerima.
Ahmed Ali Sirohey bergambar ramai dengan penerima-penerima anugerah penghargaan.
Ahmed Ali Sirohey bergambar ramai dengan penerima-penerima anugerah penghargaan.

Hadir menyempurnakan penyampaian anugerah penghargaan kepada seramai 33 orang penerima ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Ahmed Ali Sirohey.

Pada majlis berkenaan, seramai 11 orang warga dan penduduk Brunei serta 22 orang warga Pakistan menerima anugerah penghargaan.

Anugerah itu diberikan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan bakti para penerima bukan sahaja menaburkan bakti kepada pembangunan Pakistan tetapi juga membantu mengukuhkan lagi serta meningkatkan hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara.