34 anak polis khatam Al-Quran

34 anak polis khatam Al-Quran

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Seramai 34 murid Darjah 6, Sekolah Ugama Anak-anak Pasukan Polis Diraja Brunei diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pusat Latihan Polis di sini baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam dan datin.

Menurut kenyataan di sini, majlis tersebut yang merupakan aktiviti tahunan Jabatan Pengajian Islam,Kementerian Hal Ehwal Ugama, bertujuan menggalakkan murid-murid untuk sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan bacaan yang betul dan lancar.

Tetamu kehormat ketika menabur bunga rampai kepada para peserta khatam.
Tetamu kehormat ketika menabur bunga rampai kepada para peserta khatam.
Gambar ramai para peserta khatam yang diraikan.
Gambar ramai para peserta khatam yang diraikan.

Selain itu, ia juga bagi memastikan murid-murid Darjah 6 telah berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebelum mereka menamatkan persekolahan ugama Darjah 6 serta untuk mengeratkan kerjasama dan perpaduan di antara guru-guru, Pasukan Polis Diraja Brunei, ibu bapa dan murid-murid dalam sama-sama mengendalikan majlis keagamaan di sekolah-sekolah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat majlis dan diikuti dengan bacaan surah-surah oleh peserta khatam. Majlis diteruskan dengan bacaan takhtim oleh murid-murid perempuan dan disusuli dengan bacaan doa khatam oleh peserta khatam. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.

ARTIKEL YANG SAMA