34 dilantik Kadet

34 dilantik Kadet

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Sekolah Pegawai Kadet (OCS) Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), telah mengadakan Majlis Pelantikan Pangkat Pegawai Kadet bagi 34 calon yang terpilih pada majlis di Mes Pegawai, Kem Sungai Akar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, pemakaian pangkat bagi 34 pegawai kadet baru itu disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Mereka yang terpilih itu telah melalui proses pemilihan yang ketat pada bulan lalu, yang mana potensi mereka untuk memasuki ABDB telah dinilai termasuk dari segi kecergasan fizikal, kepimpinan dan kebolehan berfikiran secara analitis.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, 34 pegawai kadet tersebut memulakan perjalanan mereka untuk menjadi seorang Pegawai Tentera di ABDB dengan Pelancaran Kursus Pegawai Kadet Pengambilan ke-14 yang berlangsung di Dewan Makan, Sekolah Pegawai Kadet ABDB.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran kursus berkenaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Peserta kursus bergambar ramai dengan Timbalan Menteri Pertahanan dan Pemerintah ABDB.
Peserta kursus bergambar ramai dengan Timbalan Menteri Pertahanan dan Pemerintah ABDB.
Dato Paduka Haji Mustappa melancarkan kursus.
Dato Paduka Haji Mustappa melancarkan kursus.
Pemerintah ABDB memasang tanda pangkat kepada seorang penerima.
Pemerintah ABDB memasang tanda pangkat kepada seorang penerima.

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih, setiausaha tetap-setiausaha tetap, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, para pemerintah Angkatan Tentera dan Komandan, pengarah, pegawai kanan, pegawai-pegawai serta ibu bapa dan ahli keluarga pegawai-pegawai kadet.

Daripada seramai 34 pegawai kadet berkenaan, 16 akan menyertai Tentera Darat Diraja Brunei, sembilan menyertai Tentera Laut Diraja Brunei dan sembilan lagi akan menyertai Tentera Udara Diraja Brunei.

Pegawai-pegawai kadet itu akan menjalani latihan selama 12 bulan di Sekolah Pegawai Kadet di mana kebolehan kepimpinan, perwatakan dan intelek mereka akan dibangunkan dan diasah sebelum mereka ditauliahkan sebagai leftenan dan menyertai perkhidmatan masing-masing bagi latihan yang lebih khusus.

Mereka berkenaan harus membuktikan bahawa mereka mampu untuk mencapai standard yang tinggi yang diperlukan dalam latihan pegawai ABDB di dalam pelbagai bidang daripada kecergasan fizikal dan kemahiran asas ketenteraan kepada analisis pengajian strategik dan doktrin ketenteraan moden.

Menurut kenyataan dari Kementerian Pertahanan, mereka yang berjaya untuk melalui latihan selama 12 bulan itu bukan sahaja akan menjadi pegawai yang bertauliah di ABDB, tetapi mereka juga akan dianugerahkan dengan Diploma BTEC Peringkat 5 dalam Kepimpinan dan Pengurusan serta berkelayakan sebagai pegawai-pegawai range conducting.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Upacara Sovereign’s Parade yang akan diadakan pada Mei 2016 nanti menandakan penghujung bagi kursus berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA