34 keluarga Kampung Tamoi terima wang zakat

34 keluarga Kampung Tamoi terima wang zakat

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Sebanyak $47,800 daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin telah diagih-agihkan kepada 34 buah keluarga dari beberapa buah kampung di kawasan Kampung Tamoi pada majlis penyampaian yang berlangsung di Masjid Kampung Tamoi, hari ini.

Hadir menyempurnakan penyampaian zakat berkenaan ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.

Pada majlis itu, 34 ketua keluarga yang terdiri dari padaasnaf fakir miskin menerima agihan zakat mereka yang mana setiap ketua keluarga menerima $500 manakala $400 diberikan kepada orang yang di bawah tanggungannya.

Seorang penerima menerima agihan zakat daripada Dr. Haji Japar.
Seorang penerima menerima agihan zakat daripada Dr. Haji Japar.

Salah seorang penerima agihan zakat yang ditemui, Dayang Jasnih binti Poly yang merupakan ibu tunggal kepada tiga orang anak dari Kampung Sungai Kedayan A, telah melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas agihan zakat yang diterima beliau.

Menurutnya, agihan wang zakat ini akan digunakan sebaik-baiknya, yang mana sebahagian akan disimpan untuk keperluan lain.