34 maut, majlis kahwin diserang

34 maut, majlis kahwin diserang

HASAKEH, Syria, 4 Okt – Seorang pengebom berani mati telah menyerang sebuah majlis perkahwinan di timur laut Syria ketika kedua-dua pengantin sedang melafazkan ikrar, membunuh 34 orang dan mencederakan puluhan yang lain, menurut saksi dan sumber perubatan.

Pengebom meletupkan dirinya lewat semalam di kampung Tall Tawil di wilayah Hasakeh tempat perkahwinan seorang pegawai parti Kurdish.

Beberapa barisan tempat duduk di dewan perkahwinan itu masih berlumuran darah pada pagi hari ini, menurut jurugambar AFP di tempat kejadian.

“Ketika pengantin lelaki dan perempuan sedang melafazkan ikrar mereka saya menyaksikan seorang lelaki berpakaian jaket hitam melintasi saya,” kata saksi bernama Ahmad.

“Saya rasa dia kelihatan pelik dan beberapa saat kemudian terdapatnya letupan besar.

Beberapa lelaki memeriksa kerosakan di dewan majlis perkahwinan pada 4 Oktober, sehari selepas serangan berani mati menyasarkan parti perkahwinan Kurdish di kampung Tall Tawil di wilayah Hasakeh, Syria. – AFP
Beberapa lelaki memeriksa kerosakan di dewan majlis perkahwinan pada 4 Oktober, sehari selepas serangan berani mati menyasarkan parti perkahwinan Kurdish di kampung Tall Tawil di wilayah Hasakeh, Syria. – AFP

“Ramai yang tumbang ke lantai dan saya menyaksikan anggota badan yang berkecai.”

Kira-kira 90 orang cedera, menurut sumber perubatan di bandar Hasakeh yang memberi jumlah terkini.

Balai Cerap Hak Asasi Kemanusiaan Syria, sebuah kumpulan pemantauan berpangkalan di Britain, memberi jumlah mangsa yang terkorban seramai 36 orang termasuk 11 kanak-kanak.

Kumpulan jihad Islamic State (IS) berkata dalam satu kenyataan bahawa seorang pejuangnya telah melepaskan tembakan dalam sebuah ‘perhimpunan besar’ pejuang Kurdish berhampiran bandar Hasakeh sebelum meletupkan dirinya sendiri.

Dakwaan itu, yang tidak menyatakan majlis kahwin itu, berkata 40 orang telah terbunuh.

Kedua-dua pengantin selamat, namun ayah dan abang pengantin lelaki terkorban dalam serangan itu, menurut ahli saudaranya kepada AFP.

“Pengantin lelaki hanya mengalami cedera ringan, dan dia bersama isterinya sedang menginap di rumah saudaranya. Dia tidak mahu berjumpa sesiapa. Mereka masih lagi terkejut dengan insiden itu,” ujarnya lagi. – AFP