34 pegawai kadet terima pangkat

34 pegawai kadet terima pangkat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah telah menyampaikan pangkat kepada 34 pegawai kadet yang baru bagi Sekolah Pegawai Kadet Pengambilan kali ke-16 dalam majlis pelantikan yang diadakan di Dewan Majlis, Akademi Pertahanan ABDB, Tanah Jambu.

Acara kemudian diikuti dengan Majlis Perasmian Kursus Pentauliahan bagi Pengambilan ke-16 bagi tahun 2016/2017 yang berlangsung di auditorium akademi berkenaan.

Kursus tersebut merupakan latihan intensif selama 52 minggu di mana tahap kepimpinan, keperibadian dan intelek kadet-kadet ini akan dikembangkan bagi mempersiapkan diri mereka untuk ditauliahkan sebagai pegawai-pegawai yang baru dalam ABDB buat pertama kalinya.

Yang Dimuliakan Pehin dalam ucapan perasmiannya berkata, proses penghasilan pegawai-pegawai ABDB adalah suatu proses yang bersistematik dan teliti, bermula dengan pemilihan calon-calon yang dinilai bersesuaian bagi mengikuti latihan pegawai kadet berdasarkan kekuatan fizikal, daya akal fikiran, serta potensi awal bakal-bakal pegawai.

Menurutnya, tempoh latihan selama 52 minggu yang sangat mencabar, dan bakal menguji semangat serta daya tahan para pegawai kadet, penilaian prestasi pegawai kadet akan dibuat secara progresif dan adil.

Pentauliahan pangkat pegawai kepada salah seorang kadet lelaki.
Pentauliahan pangkat pegawai kepada salah seorang kadet lelaki.
Pemerintah ABDB mentauliahkan pangkat pegawai kepada salah seorang kadet wanita.
Pemerintah ABDB mentauliahkan pangkat pegawai kepada salah seorang kadet wanita.

“Mereka akan ditunjuk ajar dan dibimbing oleh jurulatih yang berkemahiran dan terpilih serta terpulanglah kepada mereka untuk berusaha dengan gigih untuk meningkatkan prestasi mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, selaras dengan Wawasan Brunei 2035, ABDB memerlukan para pemimpin yang mempunyai latar belakang pendidikan dan pengetahuan yang tinggi sebagai generasi pelapis untuk merancang, memangkin dan menerajui hala tuju ABDB di masa akan datang.

Di samping itu konsep pembelajaran sepanjang hayat juga dititikberatkan, pembelajaran dan pendidikan pegawai tentera tidak pernah akan berhenti bagi memastikan mereka sentiasa berfikiran dan bersikap dinamik dan progresif mengikut perkembangan semasa.

Pemerintah ABDB juga berkata, sekolah ini juga memfokuskan kepada perubahan individu yang menjadi seorang pemimpin tentera berdasarkan prinsip setia, takwa dan berani.

Perubahan progresif ini bersikap fizikal dan mental, merupakan sesuatu yang sangat mencabar terutama sekali pada tiga bulan pertama kursus berkenaan.

Pegawai kadet yang baru dilantik bergambar ramai bersama Pemerintah ABDB.
Pegawai kadet yang baru dilantik bergambar ramai bersama Pemerintah ABDB.

Beliau juga berharap, kepada semua pegawai kadet akan terus tekun dan mengatasi segala cabaran, dan jangan berputus asa, menerima semua ilmu yang diajar secara positif dan terbuka.

Berbekalkan dengan prinsip dan semangat yang kuat, beliau percaya ini akan dapat membentuk para pegawai kadet menjadi pemimpin yang berwibawa dan bijaksana, dan menjadi seorang generasi yang berani mempertahankan maruah, serta kedaulatan raja, kesucian agama, dan kelangsungan survival bangsa dan negara.

Harapan negara amat tinggi kepada mereka, di samping ahli keluarga yang berharap untuk melihat mereka berjaya.

Setelah tamat latihan mereka, para pegawai kadet akan diraikan dengan Perbarisan Pentauliahan (Sovereign’s Parade) yang dijangka berlangsung pada September tahun depan.

Turut hadir dalam kedua-dua majlis berkenaan ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pengarah-pengarah tentera, komandan, pemangku komandan serta para pegawai dan kakitangan Akademi Pertahanan ABDB.

ARTIKEL YANG SAMA