34,000 pelawat dijangka kunjungi DSA 2016

34,000 pelawat dijangka kunjungi DSA 2016

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) – Kira-kira 34,000 pelawat perdagangan dari 77 negara dijangka mengunjungi Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 yang dijadualkan berlangsung mulai 18 hingga 21 April di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut laman web rasmi DSA (www.dsaexhibition.com), kira-kira 1,200 syarikat tempatan dan antarabangsa akan mengambil bahagian pada pameran empat hari itu.

“Antara syarikat antarabangsa yang mengambil bahagian ialah Persatuan Industri Pertahanan Korea (KDIA); Russian Technologies; Team Defence Australia dan Thales manakala, syarikat tempatan ialah Boustead Naval Shipyard; DRB-Hicom Defence Technologies (Deftech) dan Weststar Group,” katanya.

Kira-kira 300 delegasi utama dari 44 negara seperti China, Perancis and New Zealand dijangka menghadiri DSA 2016.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (depan) melihat kereta perisai yang dipamerkan ketika meninjau persediaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra kelmarin. – Bernama
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (depan) melihat kereta perisai yang dipamerkan ketika meninjau persediaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra kelmarin. – Bernama

DSA merupakan pameran statik peralatan dan teknologi pertahanan serta sistem persenjataan dan penyelesaian keselamatan generik terkini bagi memenuhi keperluan pasukan keselamatan di negara ini dan negara-negara Asia Pasifik.

Pameran yang dianggap antara lima pameran pertahanan terbaik dunia, DSA 2016 juga akan menampilkan sesi perbincangan ‘Chief of Army Roundtable Talk’ (ChART) anjuran Angkatan Tentera Malaysia bertemakan “The Army’s Role in Emerging Border Security Dimension: Challenges and Implications”.

Antara acara menarik lain yang diatur ialah Forum Keselamatan Siber dan Forum Putrajaya dengan tema ‘Kerjasama Serantau dalam Menangani Cabaran Keselamatan’.

DSA 2016 dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA