3,499 tangkapan dadah tempoh enam bulan

3,499 tangkapan dadah tempoh enam bulan

KUCHING, 26 Jun (Bernama) – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak berjaya membuat 3,499 tangkapan kes penyalahgunaan dadah dalam tempoh Januari sehingga Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Lukas Aket berkata daripada jumlah itu, 159 membabitkan kes bekalan, diikuti 1,006 kes memiliki dadah dan selebihnya adalah kes ujian air kencing.

Beliau berkata kes rampasan dadah pelbagai jenis dalam tempoh yang sama adalah ganja (2,024.29 gram), syabu (1,478.10 gram), ketamine (428.44 gram), ecstasy (2,759 gram serbuk dan 977 biji pil), eramin5 (500 biji), yaba (0.66 gram dan satu pil) manakala nospan (13,741 biji).

Selain itu, katanya sepanjang tempoh Januari hingga Rabu lalu, jabatan itu berjaya menyelesaikan sebanyak 505 kes di mahkamah.

“Hukuman yang dikenakan adalah hukuman penjara antara dua bulan hingga 18 tahun dan lima sebatan, manakala hukuman denda adalah antara RM1,500 hingga RM7,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Lukas meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak polis.

Sementara itu, pagi tadi Polis Kontinjen Sarawak turut menyertai program International Day Against Drug an Illicit Trafficking dengan melupuskan 10 kilogram dadah pelbagai jenis di tapak pelupusan sampah di Kuching Waste Integrated Management Park, Km 16, Kampung Mambong di sini.

Beliau berkata pelupusan kali ini melibatkan barang kes sejak 2007 sehingga 2013, dari Kuching, Kota Samarahan, Miri dan Sri Aman, iaitu membabitkan 548 kertas kes siasatan yang terdiri daripada kes yang telah selesai, sudah dijatuhi hukuman dan kes-kes urin/barang yang negatif serta kes yang telah diarahkan DNAA oleh timbalan pendakwa raya (TPR) atas pelbagai alasan.

Selain itu, katanya terdapat juga barang kes yang melibatkan rampasan tanpa tangkapan.