35 ahli PGGMB berlepas ke Seoul

35 ahli PGGMB berlepas ke Seoul

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Seramai 35 ahli Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) hari ini berlepas ke Seoul, Korea, bagi menghadiri Konvensyen Majlis Guru-guru ASEAN+1 (ACT+1), Republik Korea, ke-32 bermula 18-20 September ini.

Rombongan diketuai oleh Presiden PGGMB, Haji Antin bin Haji Ahad dan juga Pemangku Penolong Pengarah dan Ketua Kluster 4, Kementerian Pendidikan, Hajah Mariam binti Haji Ladi yang telah ditaja PGGMB bagi mewakili Brunei menyampaikan kertas kerja.

Persidangan ACT+1 anjuran Persekutuan Guru-guru Korea (KFTA) ini akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Korea dan dijangka dihadiri kira-kira 2,000 peserta termasuk rombongan PGGMB.

Ahli-ahli PGGMB yang akan mengikuti Konvensyen Majlis Guru-Guru ASEAN +1 (Korea) ke-32 bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Ahli-ahli PGGMB yang akan mengikuti Konvensyen Majlis Guru-Guru ASEAN +1 (Korea) ke-32 bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Persidangan bertemakan Perkembangan Kualiti Pendidikan di ASEAN dan Korea Melalui Karakter dan Pendidikan Kewarganegaraan Global ini akan membincangkan keperluan-keperluan yang semakin mencabar bagi negara-negara anggota ASEAN dan juga Korea dalam usaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan pemahaman secara besar-besaran dalam bidang berkaitan perguruan, pendidikan, sains dan kebudayaan.

Melalui persidangan itu, satu resolusi akan dikeluarkan dan PGGMB akan menyampaikannya kepada Kementerian Pendidikan untuk rujukan dan pertimbangan sama ada boleh dilaksanakan di negara ini, menurut Haji Antin ketika ditemu bual.

Konvensyen ACT diadakan setiap tahun dianjurkan secara bergilir-gilir oleh negara-negara anggota ACT, yang terdiri daripada sembilan buah negara iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA