35 ahli PGGMB berlepas ke Thailand

35 ahli PGGMB berlepas ke Thailand

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Delegasi seramai 35 orang ahli Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) telah berlepas ke Bangkok, Thailand bagi menghadiri Persidangan Guru-guru ASEAN (ACT) ke-31 yang diadakan bermula esok hingga 4 Oktober di Centara Grand dan Pusat Persidangan Bangkok.

Mengetuai delegasi ialah Presiden PGGMB, Haji Antin bin Ahad dan Timbalan Presiden PGGMB, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat.

Persidangan berkenaan membawa tema ‘Creative and Productive Role of Teachers for ASEAN Community’ bagi menggambarkan keperluan tenaga pengajar dan pemimpin sekolah dalam masyarakat ASEAN, bagi mengisi pengetahuan, inovasi dan kreativiti baru yang memberikan pendekatan baru dalam aktiviti pembelajaran dan mempraktikkan program pendidikan teknologi informasi dan komunikasi (ICT).

Pada persidangan itu, laporan Negara Brunei Darussalam akan disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Penaga, Hajah Nor Zurina binti Haji Assim dengan kertas kerja beliau yang bertajuk ‘Computing in Model Schools Project’(CiMS).

35 ahli PGGMB berlepas ke Bangkok, Thailand bagi menyertai Persidangan Guru-guru ASEAN (ACT) kali ke-31.
35 ahli PGGMB berlepas ke Bangkok, Thailand bagi menyertai Persidangan Guru-guru ASEAN (ACT) kali ke-31.

Sementara itu, bekas pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Hajah Jamilah binti Haji Mohd Yusof akan membentangkan tajuk ‘The Intergration of ICT into Education System in Brunei Darussalam’.

Tahun ini Thailand menjadi tuan rumah persidangan tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Guru-guru Thailand bersempena dengan Hari Guru Sedunia.

Persidangan itu nanti akan dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn yang mana juga akan mengurniakan Anugerah Guru-Guru Puteri Maha Chakri kepada 11 penerima.

Antara negara-negara yang menyertai persidangan itu termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam, Kemboja dan Republik Korea, dengan lebih 2,000 delegasi keseluruhannya.

ARTIKEL YANG SAMA