35 pain darah berjaya dikutip

35 pain darah berjaya dikutip

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Sebanyak 35 pain darah telah berjaya dikumpulkan melalui Kempen Derma Darah anjuran Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang diadakan di CBTL, The Mall, Gadong, hari ini.

Kempen yang merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) CBTL bermula 10 pagi hingga 3 petang itu melibatkan penyertaan kakitangan serta orang awam.

Pengurus Latihan CBTL Brunei, Awang Mohamad Fairuz bin Ibrahim memberitahu Media Permata, kempen tersebut merupakan aktiviti CSR Caring Cup, dengan tujuan untuk membantu menambah tabung darah di negara ini.

Penyelia Simpanan Darah Hospital RIPAS, Haji Iqmal bin Haji Ismail dalam kenyataannya berkata, keperluan darah sudah semakin meningkat, dengan keperluan sekurang-kurangnya 50 pain sehari.

Sehubungan itu, mereka memerlukan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan syarikat-syarikat untuk bekerjasama dengan mereka dalam mengadakan kempen derma darah secara berterusan.

Antara yang menyertai kempen derma darah yang diadakan di CBTL, The Mall, Gadong.
Antara yang menyertai kempen derma darah yang diadakan di CBTL, The Mall, Gadong.

Menurut beliau lagi, hampir setiap hari mereka menjalankan kempen derma darah, biarpun simpanan setakat ini mencukupi tetapi tabung darah mesti terus ditambah bagi memastikan ia sentiasa mencukupi bagi keperluan pesakit yang memerlukannya.

“Menderma darah merupakan kegiatan yang sihat, ia boleh mengurangkan sekurang-kurangnya sejumlah 500
kalori bagi setiap penderma, dan mereka boleh menderma selepas dua bulan, dan boleh menderma empat hingga lima kali dalam setahun,” katanya.

Beliau menambah, beberapa perubahan ke atas syarat menderma darah telah dilaksanakan sejak 14 Jun 2014, iaitu remaja yang berusia 17 tahun dibolehkan menderma darah dengan mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa melalui borang yang disediakan, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada penderma yang berumur 18 tahun ke atas sahaja.

Sementara itu, berat badan juga telah dikurangkan kepada 45 kilogram berbanding sebelum ini iaitu 50 kilogram, yang mana perubahan tersebut adalah bagi menyasarkan penderma dalam kalangan para belia yang sihat.

Kempen tersebut telah dikendalikan bersama oleh lapan orang kakitangan dari Pusat Pendermaan Darah RIPAS dengan diketuai oleh Haji Iqmal dan dibantu sama oleh Pegawai Perubatan hospital berkenaan, Dr. Nway Nang.

ARTIKEL YANG SAMA