35 pasar raya terima penghargaan

35 pasar raya terima penghargaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Sebanyak 35 buah pasar raya dan kedai runcit mengambil bahagian dalam Cabaran Pameran Pepsi 2015 yang dianjurkan oleh Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, di mana para pemenang dan peserta cabaran pameran itu menerima hadiah serta diraikan dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Restoran Millenium, Beribi, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam dua kategori dipertandingkan ialah Pengarah Urusan Kingston, Malcolm Lim.

Turut hadir ialah Pengurus Besar, Valentine Hon, Pengurus Pemasaran dan Jualan, Kevin Robin Jon serta pegawai dan kakitangan Kingston serta para wakil pasar raya dan kedai-kedai runcit yang menyertai cabaran berkenaan.

Kevin Robin Jon dalam kata alu-aluannya bagi mewakili pihak Kingston menyatakan penghargaan mereka kepada semua pasar raya dan kedai runcit yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu serta sokongan berterusan dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka selama ini.

Beliau menjelaskan bahawa pertandingan Cabaran Pameran Pepsi 2015 berlangsung selama dua bulan iaitu bermula 15 Oktober hingga 15 Disember di mana sepanjang tempoh pertandingan itu diadakan, para peserta berusaha untuk menghasilkan pameran-pameran menarik di pasar raya dan kedai masing-masing.

Malcolm bergambar ramai dengan wakil para pemenang dan peserta Kategori B, Cabaran Pameran Pepsi 2015.
Malcolm bergambar ramai dengan wakil para pemenang dan peserta Kategori B, Cabaran Pameran Pepsi 2015.

Pada masa yang sama, Kevin berharap sokongan dan kepercayaan yang ditunjukkan oleh pihak pasar raya dan kedai-kedai runcit berkenaan akan terus dipertingkatkan serta melahirkan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama serta saling bantu-membantu itu.

Dalam pertandingan itu, sebanyak dua kategori dipertandingkan, Kategori A untuk penyertaan pasar raya dengan 12 buah pasar raya mengambil bahagian dan Kategori B bagi penyertaan kedai-kedai runcit yang disertai sebanyak 23 buah kedai runcit.

Bagi Kategori A, tempat pertama disandang oleh Pasar Raya Hua Ho cawangan Manggis yang membawa pulang hadiah berupa nota kredit bernilai $1,500 serta sijil penyertaan, tempat kedua dimenangi oleh Pasar Raya Soon Lee Cawangan Batu Bersurat yang membawa pulang hadiah berupa nota kredit bernilai $800 serta sijil penyertaan dan tempat ketiga dimenangi oleh Pasar raya Teguh Raya Cawangan Kiulap yang membawa pulang hadiah berupa nota kredit bernilai $500 serta sijil penyertaan.

Bagi Kategori B, tempat pertama disandang oleh Perusahaan Ala Haji Bolhassan, Jalan Tutong yang membawa pulang hadiah berupa nota kredit bernilai $1,000 serta sijil penyertaan, diikuti oleh Premier Link, Kapok, di tempat kedua yang membawa pulang hadiah berupa nota kredit bernilai $500 dan tempat ketiga ialah Ashlam Ent, Berakas, yang membawa pulang hadiah berupa nota kredit bernilai $300 serta sijil penyertaan.

Hadiah bagi para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori disampaikan oleh Malcolm Lim.

Pada majlis berkenaan juga, sebanyak lima hadiah sagu hati berupa nota kredit bernilai $100 disampaikan bagi setiap kategori yang disempurnakan oleh Valentine Hon manakala itu pasar raya dan kedai runcit yang menyertai pertandingan berkenaan turut menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Kevin Robin Jon.

ARTIKEL YANG SAMA