354 bakal jemaah haji hadiri taklimat

354 bakal jemaah haji hadiri taklimat

Oleh Rafidah Jumat & Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) selaku pengendali haji yang tidak asing lagi di negara ini, hari ini, mengadakan taklimat keagamaan dan pengurusan haji khusus buat bakal rombongan haji yang berdaftar dengan syarikat itu.

Taklimat ‘Penghayatan Ibadah Haji dan Pengurusan Bagi Musim Haji 1436H/2015M’ yang diadakan di Bangunan Pusat Kesenian, Jalan Kota Batu dekat ibu negara itu dihadiri seramai 354 bakal jemaah DHSB yang mana mereka didedahkan dengan perkara yang perlu diketahui sebelum berlepas; apa yang bakal dialami sepanjang berada di Madinah dan Mekah, dan sebelum meninggalkan Arab Saudi.

Bakal jemaah turut diberi nasihat dan panduan bagaimana untuk memanfaatkan perjalanan mereka sepanjang menunaikan ibadah haji, dari segi kerohanian, logistik dan pengurusan lain.

Taklimat itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah DHSB, Dato Seri Setia Haji Awang Yusoff bin Haji Awang Ismail selaku tetamu kehormat.

Sebahagian daripada bakal jemaah haji yang mengikuti pakej DHSB menghadiri taklimat keagamaan dan pengurusan haji.
Sebahagian daripada bakal jemaah haji yang mengikuti pakej DHSB menghadiri taklimat keagamaan dan pengurusan haji.

Bakal jemaah haji DHSB dijadualkan berlepas dari Bandar Seri Begawan ke Madinah Al-Munawarah menggunakan dua penerbangan khas dengan penerbangan pertama akan berlepas pada 30 Ogos manakala penerbangan kedua pada 31 Ogos.

Pegawai-pegawai termasuk Pengarah Urusan DHSB, Haji Awang Mahmud bin Haji Awang Mohamed bakal berlepas ke Arab Saudi pertengahan bulan ini bagi memastikan semua urusan berjalan lancar sebelum ketibaan bakal jemaah haji di negara itu.

ARTIKEL YANG SAMA