36 pelajar SRMA terima sijil

36 pelajar SRMA terima sijil

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 5 Feb – Sebagai usaha untuk menyuntik semangat pelajar khususnya Tahun 6 yang bakal menduduki Peperiksaan penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun ini, Sekolah Rendah Muhammad Alam (SRMA) telah mengadakan Majlis Konvokesyen Ke-2 bagi Pelajar Tahun 6 Sesi 2015, hari ini.

Seramai 36 orang pelajar, 21 orang daripadanya pelajar lelaki manakala 15 pelajar perempuan, telah menerima sijil dan cenderahati pada majlis yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, tiga orang pelajar mendapat keputusan 5A, manakala dua lagi mendapat 4A 1B, tiga mendapat 3A 2B dan dua orang mendapat 3A 1B dan 1C.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderahati ialah Ketua Kluster 6, Dayang Norasurah binti Haji Meludin.

Dalam ucapannya, Dayang Norasurah berkata, pihak Kementerian Pendidikan telah melakukan beberapa inisiatif dan strategi bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, selain pihak Kluster turut melaksanakan perkara yang sama untuk sama-sama membantu serta menyokong inisiatif kementerian antaranya program GBR (green, blue dan red) dalam mata pelajaran Matematik, dan nota bagi ibu bapa serta penjaga dalam membantu anak-anak belajar di rumah.

Tetamu kehormat, guru-guru dan para pelajar bergambar ramai selepas Majlis Konvokesyen Ke-2 bagi Pelajar Tahun 6 Sesi 2015 Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.
Tetamu kehormat, guru-guru dan para pelajar bergambar ramai selepas Majlis Konvokesyen Ke-2 bagi Pelajar Tahun 6 Sesi 2015 Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.

Beliau menambah, pihak sekolah amat menghargai sokongan berterusan semua pihak dari segi perkembangan profesional pemimpin sekolah dan para guru serta pencerapan kepada guru-guru dengan memberikan maklumat yang berkesan bagi meningkatkan kualiti pengajaran.

“Pihak sekolah juga telah mengungkayahkan beberapa strategi dalam sama-sama meningkatkan prestasi pembelajaran seperti penambahan waktu kurikulum, pengajaran secara berpasukan, membuat kelas tambahan pada Jumaat dan Ahad serta semasa cuti persekolahan serta turut melaksanakan apa jua inisiatif atau strategi daripada pihak Kementerian Pendidikan,” katanya lagi.

Sementara itu, mantan guru besar SRMA, Hajah Saadiah binti Haji Abdul Aziz selaku pengerusi majlis, dalam ucapan alu-aluannya memberitahu, sekolah tersebut telah menunjukkan peningkatan yang baik dalam peperiksaan PSR tahun lalu, yang meningkat 13 peratus dengan mencatatkan 82.35 peratus lulus secara keseluruhan berbanding tahun sebelumnya hanya 69.23 peratus.

Katanya, lagi Sasaran Nasional Gred A-C pada tahun ini sebanyak 79 peratus dan peratus kualiti A-C sangat sukar untuk dicapai, namun beliau melahirkan keyakinan dengan perancangan yang terarah disertai dengan persediaan para pelajar dan komitmen ibu bapa dan penjaga serta pemedulian guru-guru yang mengajar, sasaran akan mampu dicapai.

“Pemantauan berterusan semua pihak juga sangat penting di mana segala saranan dan dapatan yang dikongsi dengan pihak sekolah amat membantu walaupun agak perit tetapi itulah kunci ke arah kejayaan,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan tayang slaid bertajuk ‘Kenangan Terindah’ dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai tetamu kehormat bersama guru-guru dan para pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA