361 peserta tamat Program Satu Minggu Satu Juzuk

361 peserta tamat Program Satu Minggu Satu Juzuk

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Seramai 361 orang peserta Program Satu Minggu Satu Juzuk yang terdiri daripada murid Darjah Pra hingga 5 sekolah-sekolah agama kawasan Brunei II ‘A’ telah berjaya menghabiskan pembacaan 30 Juzuk Al-Quran dan diraikan dalam majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini, hari ini.

Program yang diperkenalkan pada Februari 2016 ini adalah bagi mendokong dan menjunjung tinggi hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Hari Guru ke-10 yang mana pendidikan agama khususnya Al-Quran peringkat asas perlu dititik beratkan supaya ia kukuh dan mantap.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang telah mendahului merenjis minyak wangi kepada peserta dan menyampaikan sijil khatam.

Sepanjang program ini, murid persekolahan agama yang mengikuti program dibimbing secara bertalaqqi oleh guru kelas dan guru Al-Quran sekolah agama masing-masing.

Program ini menyasarkan penglibatan pembacaan Al-Quran murid-murid secara konsisten dan berterusan pada setiap hari selepas waktu persekolahan.

Para peserta khatam yang diraikan dalam program tersebut.
Para peserta khatam yang diraikan dalam program tersebut.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan sijil khatam kepada para peserta.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan sijil khatam kepada para peserta.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin memulakan majlis dengan membaca Surah Al-Fatihah seterusnya diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Masad oleh para peserta khatam.

Majlis diserikan dengan bacaan takhtim oleh guru-guru agama kawasan Brunei II ‘A’ diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Mohammad Hidayatullah Al-Mu’min bin Rosman yang juga merupakan pelajar Darjah 1 di Sekolah Ugama Amar Pahlawan.

Program ini dilaksanakan di 143 buah sekolah agama di seluruh negara yang bertujuan untuk memantapkan pembacaan Al-Quran dan meningkatkan jumlah bilangan murid yang khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun.

Jumlah keseluruhan yang telah menyertai program adalah seramai 6,508 orang murid di seluruh negara dengan peserta dari Kawasan Brunei III adalah yang paling ramai menyertai iaitu seramai 1,420 orang murid. Manakala itu, peserta Darjah 6 adalah yang paling ramai menyertai program iaitu dengan bilangan seramai 2,058 murid.

Sementara itu, seramai 1,823 orang murid Darjah Pra hingga Darjah 3 yang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 10 tahun ke bawah telah menyertai program ini.

Persekolahan agama merupakan platform pendidikan agama secara formal di negara ini dan dengan adanya program ini ia dapat memantapkan lagi mutu bacaan Al-Quran murid di sekolah agama menerusi amalan membaca secara bertalaqqi.

Ini sekali gus menyuntik dan mendidik murid-murid supaya sentiasa membaca Al-Quran sebagai amalan harian mereka hingga berjaya mengkhatamkannya.

ARTIKEL YANG SAMA