363 pelajar baru PTE Sengkurong

363 pelajar baru PTE Sengkurong

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Seramai 363 pelajar baru Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, yang terdiri daripada 144 pelajar lelaki dan 219 pelajar perempuan bersama ibu bapa dan penjaga mereka menghadiri Majlis Orientasi yang diadakan di dewan PTE berkenaan, hari ini.

Pengetua PTE Sengkurong, Haji Ismail bin Haji Zainal dalam ucapannya mengalu-alukan para pelajar yang bakal memulakan semester persekolahan berkata PTE Sengkurong mampu untuk melahirkan pelajar-pelajar hebat, pelajar-pelajar yang mencapai tahap akademik yang sungguh membanggakan di Peringkat ‘A’.

“Ini terbukti dengan prestasi pencapaian pusat tersebut pada tahun 2015 berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Pencapaian 3 ‘A’ Level ke atas ialah 66.1 peratus, 2 ‘A’ Level ke atas ialah 88.2 peratus manakala pencapaian 1 ‘A’ Level ke atas ialah 96.7 peratus. Oleh itu tiada keraguan lagi tentang kemampuan pusat ini walaupun ianya belum lama ditubuhkan,” ujarnya.

Beliau menaruh harapan kepada para pelajar PTE itu agar sentiasa berusaha dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan demi kecemerlangan dengan membuang sikap ‘asal pass saja’ atau ‘janji pass cikgu’ atau cukup-cukup makan dan sebagainya.

Suasana pendaftaran pelajar-pelajar baru yang menghadiri Majlis Orientasi tersebut.
Suasana pendaftaran pelajar-pelajar baru yang menghadiri Majlis Orientasi tersebut.

Para pelajar baru juga diharapkan agar menanamkan sikap untuk mencapai potensi dan berusaha ke arah kecemerlangan seterusnya meningkatkan perkembangan sahsiah diri selaras dengan falsafah negara yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja.

Katanya lagi, para pelajar diharapkan mengambil apa jua peluang di pusat tersebut bagi meningkatkan kepentingan masa depan mereka dan beliau mengingatkan bahawa masa berada di pusat tersebut cuma lebih kurang setahun setengah sahaja iaitu suatu masa yang pendek dan cepat berlalu.

“Datang sekolah setiap hari dan tepat pada masanya. Jangan lambat datang sekolah dan tidak tertinggal satu-satu topik dalam pembelajaran serta membuat assignment yang diberikan dengan segera dan jangan ditangguhkan kerana beberapa assignment akan diberikan selepas itu,” harapan beliau lagi.

Beliau seterusnya mengharapkan para ibu bapa dan penjaga untuk memberikan kerjasama kepada pihak pusat serta memberikan sokongan padu khusus terhadap pembelajaran anak-anak mereka dan memastikan menghantar anak-anak setiap hari dan tidak lewat dari waktu persekolahan agar tidak tinggal pelajaran.

Majlis orientasi dan suai kenal selama tiga hari, bermula hari ini telah dimulakan dengan pelancarannya dan diikuti dengan beberapa siri taklimat dari Jabatan Ekonomi, Jabatan Bahasa Inggeris dan Biro Sukan dan Paramedik.

ARTIKEL YANG SAMA