365 keluarga dibantu

365 keluarga dibantu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Sebagai sebahagian daripada projek amalnya di bulan Ramadan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah mengagih-agihkan makanan kepada seramai 365 buah keluarga dan klien istimewanya.

Majlis pengagihan makanan berkenaan berlangsung di Pejabat MKM, Kompleks Melabau, Serusop dan dilakukan oleh ahli-ahli MKM.

Setiausaha Agung MKM, Dayang Hamidah binti Lakem menjelaskan, makanan berkenaan merupakan hasil daripada sumbangan berupa wang tunai beberapa individu dan bersama-sama MKM memasak hidangan untuk diagih-agihkan.

Dayang Hamidah menghulurkan sumbangan makanan kepada salah sebuah keluarga.
Dayang Hamidah menghulurkan sumbangan makanan kepada salah sebuah keluarga.

Ia merupakan aktiviti tahunan MKM di bulan Ramadan sebagai sebahagian daripada hasrat murni persatuan untuk membantu me-ringankan beban para penerima di seluruh Daerah Brunei dan Muara.

Salah seorang penerima yang ditemui, Dayang Aishah binti Bondak melahirkan perasaan gembira atas sumbangan yang diberikan itu kerana dapat meringankan beban mereka sekeluarga. Beliau yang merupakan seorang ibu tunggal kepada tujuh orang anak ini menyara anak-anaknya masih bersekolah dengan mengambil upah mengurut.