37 maut letupan di Nigeria

37 maut letupan di Nigeria

ABUJA, 24 Julai – Angka kematian akibat letupan bom serentak di dua stesen bas di bandar utara Nigeria di Gombe semalam meningkat kepada 37 orang dengan 105 lagi cedera, kata seorang pegawai Palang Merah semalam.

Tiada siapa mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, namun ia menyamai tindakan kumpulan pelampau Islam, Boko Haram yang membunuh ribuan penduduk sejak enam tahun lalu dalam cubaan mewujudkan kepimpinan di kawasan timur laut negara itu.

Dua saksi berkata, bom pertama yang meletup kira-kira jam 7 malam itu dilakukan oleh suspek pengebom bunuh diri di sebuah masjid di Dadin Kowa ketika penduduk sedang berkumpul untuk bersolat.

Satu lagi letupan berlaku di pintu pagar stesen bas utama Duku dan sebuah pasar kecil terletak berhampiran.

“Letupan serentak menyebabkan 37 maut dan 105 mangsa yang cedera ketika ini menerima rawatan di hospital pakar dan Pusat Perubatan Persekutuan di Gombe,” kata seorang pegawai Palang Merah.

Sekurang-kurangnya 50 maut dalam dua pengeboman di sebuah pasar di bandar sama Jumaat lalu.

Serangan turut dilakukan di negara jiran di Chad, Niger dan Cameroon. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA