37 orang diraikan dalam majlis khatam

37 orang diraikan dalam majlis khatam

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Nov – Seramai 37 orang yang terdiri daripada guru, kakitangan, murid-murid Sekolah Rendah Danau, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Majlis Perundingan Kampung Danau dan persatuan Muslimah Kampung Danau serta penduduk Kampung Danau, telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Sekolah Rendah (SR) Danau, Tutong, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Pelajaran Kluster 5 di Jabatan Sekolah-sekolah Tutong, Awang Omar Ali bin Haji Mohd Tahir, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah di awal majlis.

Majlis diikuti dengan bacaan surah-surah beramai-ramai yang diketuai oleh Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) SR Danau, Awang Shahril Fauzi bin Rosly.

Majlis diserikan lagi dengan bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban oleh Persatuan Muslimah Kampung Danau.

Bagi memberkati majlis, Doa Khatam telah dibacakan oleh Timbalan Pengerusi PIBG SR Danau, Awang Mohd Tarif bin Haji Ali.

Semasa Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Sekolah Rendah Danau, Tutong.
Semasa Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Sekolah Rendah Danau, Tutong.

Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan ini merupakan salah satu aktiviti tahunan SR Danau yang telah dimulakan sejak tahun 2012 dengan melibatkan guru-guru dan PIBG.

Ini merupakan tahun ke-4 majlis Khatam Al-Quran diadakan yang turut melibatkan penyertaan penduduk Kampung Danau, ahli-ahli majlis perundingan kampung, dan persatuan Muslimah.

Ia antara lain bertujuan untuk menggalakkan murid-murid dan ibu bapa serta para peserta khatam lain mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan betul dan lancar, serta memastikan murid-murid Tahun VI selesai membaca 30 Juzuk Al-Quran.

Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan kerjasama dan perpaduan di antara ibu bapa, guru-guru, murid dan penduduk Kampung Danau serta sekitarnya dalam sama-sama mengendalikan majlis keagamaan di kampung-kampung.

ARTIKEL YANG SAMA