37 pelajar PTE Tutong sertai Kem QS

37 pelajar PTE Tutong sertai Kem QS

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Nov – Seramai 37 orang pelajar Tingkatan Enam Bawah, Tahun 12 dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong yang merupakan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pembimbing Rakan Remaja (PRR) mengikuti Program Kem QS iaitu Qa’id Assyumul selama tiga hari dua malam bermula hari ini, yang diadakan di kawasan sekolah berkenaan.

Aktiviti itu merupakan program tahunan PTET dengan tahun ini, program dinamakan sebagai Qa’id Assyumul yang bermaksud pemimpin pelajar yang holistik

Program ini memberi pendedahan kepada para pemimpin pelajar mengenai maklumat yang berkaitan dengan kepimpinan dan ciri-ciri pemimpin yang boleh diteladani di samping membentuk pelapis pemimpin yang dinamik serta berkebolehan selaras dengan wawasan negara menjelang tahun 2035.

Program tersebut merupakan kolaborasi antara Jabatan Kaunseling yang diketuai oleh Dayang Norhaslinda binti Haji Mohd Adnan dan Unit Perkembangan Pemimpin Pelajar (SLDU) yang diketuai oleh Sherman Tan.

Majlis perasmian Program Kem QS dengan tahun ini bertemakan ‘Superheroes’ telah pun disempurnakan oleh Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah.

Ibu bapa dan penjaga pelajar turut hadir di Majlis Pelancaran Kem QS.
Ibu bapa dan penjaga pelajar turut hadir di Majlis Pelancaran Kem QS.

Semasa majlis perasmian program itu, sesi taklimat mengenai Kem QS telah disampaikan oleh Ketua Unit Perkembangan Pemimpin Pelajar, Sherman Tan dan Penyelaras Aktiviti Bersama Program Kem QS, Awang Azrin bin Haji Bolhassan yang juga selaku Ketua MPP.

Beberapa aktiviti akan dijalankan sepanjang perkhemahan berkenaan, antaranya aktiviti keagamaan dan spiritual, komunikasi, kepemimpinan dan aktiviti kerjasama berkumpulan di samping mengadakan beberapa kegiatan yang menjurus kepada bakat pelajar seperti SuperChef.

Program itu turut menjemput fasilitator dari luar seperti YSEALP dan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd.

Antara objektif program ini adalah bagi memantapkan pengetahuan sedia ada peserta berkaitan dengan program kepimpinan jati diri, mengukuhkan nilai-nilai teras PTET iaitu ketabahan, kebolehpercayaan, kecemerlangan dan kerja berpasukan dalam kalangan pemimpin pelajar.

Selain itu, ia juga akan dapat membina dan memupuk daya kepimpinan yang berkualiti serta mengukuhkan nilai-nilai positif seperti keyakinan diri, berdisiplin, berwawasan, beriman, berakidah mantap, berakhlak mulia, berkualiti, berkompetensi, produktif, kreativiti dan berinovasi, serta dapat mengeratkan silaturahim antara ahli MPP/PRR dan juga tutor-tutor. Program Kem QS ini diharap dapat melahirkan pemimpin pelajar yang berkeyakinan tinggi, identiti jati diri yang kukuh, berketerampilan dan berdaya tahan daripada segi kerohanian, mentaliti dan fizikal demi menjaga nama baik bangsa dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA