37 pelajar terbaik UTB diraikan

37 pelajar terbaik UTB diraikan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Seramai 37 pelajar terbaik Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Senarai Dekan dan Aktiviti Ko-Kurikulum yang diadakan bersempena Majlis Konvokesyen UTB 2016.

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar pada majlis yang berlangsung di Dewan Mutiara, UTB.

Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman semasa berucap berkata, penyampaian Sijil Senarai Dekan ini merupakan tanda pengiktirafan dan penghargaan pihak universiti atas pencapaian dan kecemerlangan pelajar-pelajar Tahun 1 hingga 3, yang mana mereka merupakan lima peratus pelajar teratas dalam bidang masing-masing.

Begitu juga penerima aktiviti ko-kurikulum yang mana, menurutnya, UTB juga mengiktiraf pelajar-pelajarnya dalam bidang bukan akademik seperti pencapaian cemerlang dalam kemahiran hidup, perkhidmatan masyarakat, aktiviti kebudayaan, sukan, keagamaan dan anugerah berprestij UniCup dianjurkan oleh UTB dan BIBD At-Tamwil.

“Setentunya kejayaan ini juga membawa kegembiraan dan rasa syukur daripada para ibu bapa, penjaga serta keluarga masing-masing,” katanya.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyampaikan sijil anugerah kepada para penerima.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyampaikan sijil anugerah kepada para penerima.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah ketika berucap pada majlis berkenaan.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah ketika berucap pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, seramai 37 orang pelajar menerima anugerah Senarai Dekan dalam program masing-masing dari Sekolah Perniagaan, Sekolah Pengkomputeran dan Infomatik, dan Fakulti Kejuruteraan UTB.

UTB memperkenalkan Senarai Dekan buat kali pertama pada tahun 2015 untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik terbaik dalam pembelajaran mereka.

Manakala itu, enam orang pelajar yang cemerlang dalam aktiviti ko-kurikululm juga menerima anugerah, yang dikategorikan kepada aktiviti-aktiviti keagamaan, pencapaian cemerlang perkhidmatan komuniti, pencapaian cemerlang kemahiran kehidupan, pencapaian cemerlang aktiviti kebudayaan, ahli sukan lelaki dan wanita. Anugerah-anugerah tersebut ditaja oleh Majlis Perwakilan Pelajar.

Dua orang pelajar lainnya turut menerima Anugerah Berprestij UniCup yang ditaja oleh BIBD At-Tamwil Berhad.

Pada majlis itu, Media Permata berkesempatan menemu bual salah seorang penerima anugerah, Awang Mohamd Syukri bin Jamil yang berkata, walaupun pembelajaran di UTB agak susah dan mengambil masa yang singkat untuk menghantar segala kertas kerja yang diberikan, ia mendorong mereka untuk lebih berusaha untuk berusaha gigih sehingga mencapai kecemerlangan.

Awang Mohamd Syukri berkongsi perasaan beliau di atas penghargaan yang diberikan oleh UTB.
Awang Mohamd Syukri berkongsi perasaan beliau di atas penghargaan yang diberikan oleh UTB.
Dayang Doreffa Nabilla ketika ditemu bual.
Dayang Doreffa Nabilla ketika ditemu bual.

“Walau bagaimanapun, hasil usaha yang diberikan akhirnya membawa nama yang baik setelah menjadi salah seorang penerima anugerah Senarai Dekan dan Aktiviti Ko-Kurikulum pada hari ini,” ujar beliau yang mengambil jurusan Diploma Tertinggi Kebangsaan dalam Rangkaian Kejuruteraan.

Sementara itu, Dayang Doreffa Nabilla binti Abdul Aziz yang penerima anugerah Senarai Dekan dan Aktiviti Ko-Kurikulum pula berkata, beliau memperolehi anugerah ini kerana mendapat markah tertinggi dalam pengiraan keseluruhan markah di bawah kursus Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Internet.

“Saya baru mengetahui anugerah ini dan saya terkejut serta gembira pada waktu yang sama kerana mencapai kejayaan cemerlang ini bukan mudah dan terpaksa berusaha lebih,” ujarnya sambil menambah, jika membahagikan masa dengan teratur semuanya berjalan dengan baik.

Beliau juga berkongsi harapan untuk mendapat markah yang lebih baik dalam mata pelajaran lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA