371 pelajar khatam Al-Quran

371 pelajar khatam Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Seramai 371 orang pelajar Tahun 6 Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Di majlis itu, Pemangku Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat) di Jabatan Pengajian Islam, Haji Rusli bin Haji Mohd Salleh hadir selaku tetamu kehormat yang turut menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam Al-Quran kepada para pelajar yang diraikan.

Antara lain tujuan majlis ini adalah bagi menggalakkan murid untuk sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan bacaan yang betul, lancar dan bertajwid.

Selain itu, dapat memastikan murid telah mengkhatamkan bacaan Al-Quran dan mengeratkan kerjasama dan perpaduan di antara ibu bapa, guru-guru serta murid dalam mengendalikan majlis keagamaan di sekolah ini.

Majlis ini merupakan salah satu agenda tahunan sekolah dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dalam Tilawah Al-Quran bagi setiap pelajar khususnya bagi murid Tahun 6 yang akan menamatkan persekolahan di peringkat persediaan.

Antara pelajar yang menyertai majlis khatam Al-Quran sekolah berkenaan.
Antara pelajar yang menyertai majlis khatam Al-Quran sekolah berkenaan.
Antara ibu bapa dan penjaga yang hadir pada majlis itu.
Antara ibu bapa dan penjaga yang hadir pada majlis itu.

Setakat ini, sejak tahun 2006 hingga 2016, sekolah berkenaan telah berhasil mengkhatamkan lebih 1,800 orang murid.

Majlis Khatam telah dimulakan dengan bacaan surah oleh murid yang diraikan diikuti dengan bacaan takhtim Al-Quran oleh murid-murid Tahun 5 manakala bacaan doa khatam dibacakan oleh Dayang Najla sabreena binti Haji Abdul Rajid.

Kemudian, majlis turut diserikan bacaan Dikir Marhaban oleh murid Tahun 5 diikuti dengan penyampaian sijil dan Doa Selamat dibacakan oleh Awang Muhammad Wafiuddin bin Haji Wahid.

ARTIKEL YANG SAMA