372 kes lalu lintas dicatat dalam 2 minggu

372 kes lalu lintas dicatat dalam 2 minggu

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei telah merekodkan 372 kes pelbagai kesalahan lalu lintas dalam 15 operasi yang dijalankan sepanjang dua minggu pertama bulan ini.

Dalam tempoh berkenaan, JSKLL Gadong menjalankan 10 operasi serta merekodkan sebanyak 308 kes, JSKLL Cawangan Batu 3, Belait merekodkan 67 kes dengan lima kali operasi serta rondaan.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abd

Rahman dalam satu kenyataan mengenai penguatkuasaan lalu lintas serta kemalangan jalan raya berkata, sebanyak 57 kes kemalangan jalanraya termasuk 1 kes kemalangan maut yang melibatkan satu kematian telah dilaporkan sepanjang minggu kedua bulan Oktober 2015.

Menurut beliau, sepanjang bulan September pula, JSKLL telah mejalankan 39 operasi dan merekodkan sebanyak 1,423 pelbagai kesalahan lalu lintas.

“JSKLL Gadong merekodkan: 1291 kes dengan 32 kali operasi serta rondaan 24 jam. JSKLL Cawangan Batu 3, Belait merekodkan 132 kes dengan 17 kali operasi serta rondaan 24 jam,” katanya.

Menurut ASP Haji Mohamad Noor, sebanyak 265 kes kemalangan jalan raya pada bulan September 2015 termasuk lapan kes kemalangan maut yang melibatkan 11 kematian telah dilaporkan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada pengguna-pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya dan sentiasa mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah demi sama-sama menjaga keselamatan semua ketika berada di jalan raya.