Fiji, NZ jalin hubungan

Fiji, NZ jalin hubungan

SUVA, Fiji, 10 Jun – Perdana Menteri New Zealand John Key berkata hari ini beliau mahu ‘menetapkan semula’ hubungan dengan Suva selepas rakan sejawatan Fiji menuduh Wellington gagal memahami negara Pasifik itu.

Mengadakan lawatan pertama ke Fiji oleh pemimpin New Zealand dalam satu dekad, Key berkata sudah tiba masanya untuk melihat di luar tekanan yang diwujudkan oleh pengambilalihan tentera pada 2006.

Key berkata lawatannya bertujuan ‘menetapkan semula hubungan supaya kami boleh maju bersama dalam semangat persahabatan yang utuh’.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Fiji Voreqe Bainimarama, yang memimpin rampasan kuasa 2006 sebelum memenangi pilihan raya pada 2014, memberitahu Key bahawa sikap New Zealand mesti berubah untuk mempertingkat hubungan.

Pada satu majlis alu-aluan untuk Key semalam, bekas pemimpin tentera itu mengadu sesetengah warga New Zealand masih menyoal kesahan kepimpinannya.

John Key (kiri) menghadiri majlis ketibaannya dengan rakan sejawatan Fiji, Frank Bainimarama sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Nausori Suva, Fiji pada 9 Jun. – AFP
John Key (kiri) menghadiri majlis ketibaannya dengan rakan sejawatan Fiji, Frank Bainimarama sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Nausori Suva, Fiji pada 9 Jun. – AFP

“Saya berdiri di depan anda malam ini bukan sebagai perancang rampasan atau diktator, sebagaimana yang masih berlaku di sesetengah negara, tetapi sebagai pemimpin terpilih popular Fiji,” kata beliau.

New Zealand memimpin gesaan antarabangsa untuk mengenakan sekatan apabila Bainimarama merampas kuasa pada 2006 dan beliau berkata Wellington kini memerlukan satu pendekatan yang ‘kurang preskriptif, lebih bersifat perunding’.

“Fiji berusaha menjalin hubungan politik baru dengan New Zealand yang lebih setara, lebih berdasarkan pada penghormatan bersama, lebih pemahaman,” kata beliau.

Bainimarama juga membincang secara panjang lebar mengenai rampasan beliau, berkata ia diperlukan untuk menyingkir kerajaan yang korup dan bersifat perkauman.

Beliau mempertahankan hak Fiji untuk mengharamkan wartawan dari negara, termasuk beberapa orang dari New Zealand, satu isu utama yang ingin dikemukakan oleh Key ketika lawatan beliau. “Kami tidak membenarkan penyebaran maklumat palsu yang merosakkan kepen-tingan negara dan melemahkan ekonomi kami,” kata pemimpin Fiji itu.

Sejak pengundian 2014, kerajaan Fiji telah dituduh cuba mengongkong akhbar dan penggubal undang-undang pembangkang, serta menutup kekejaman polis.

Amnesti Antarabangsa berkata Key, di mana lawatan dua harinya berakhir pada hari ini, perlu meletakkan isu hak asasi manusia sebagai agenda utama ketika rundingannya dengan Bainimarama. – AFP