38 fakir miskin terima sumbangan

38 fakir miskin terima sumbangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Seramai 38 orang fakir miskin yang terdiri daripada penduduk Kampung Katimahar, Kampung Lugu dan Kampung Kulapis telah menerima sumbangan derma dan barang-barang keperluan asas pada majlis penyampaiannya yang diadakan di Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kampung Katimahar, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Menurut kenyataan jabatan itu, derma dan barang-barang keperluan asas berkenaan merupakan sumbangan daripada penduduk berdekatan dengan Kampung Katimahar, Kampung Lugu dan Kampung Kulapis serta para jemaah Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.

Umat Islam diseru untuk hidup saling bantu membantu dan tolong menolong kerana dengan cara demikian akan dapat menimbulkan perasaan hormat menghormati dan sayang menyayangi tanpa mengira keluarga, kaum kerabat, rakan, jiran mahupun orang yang tidak dikenali.

Menurut kenyataan itu lagi, salah satu cara untuk melaksanakan konsep tolong menolong atau bantu membantu ialah dengan amalan bersedekah.

Bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau lainnya merupakan amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang mengeluarkannya dan orang yang menerimanya.

Orang yang bersedekah mendapat balasan pahala, sementara bagi orang yang menerimanya pula dapat menggunakan sedekah tersebut bagi memenuhi keperluan hidupnya.

ARTIKEL YANG SAMA