38 keluarga terima bantuan MUIB

38 keluarga terima bantuan MUIB

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan tidak mencukupi bagi keperluan persekolahan 2016.

Sehubungan itu, MUIB telah mengadakan Majlis Penyampaian Agihan Zakat Awal Tahun Persekolahan 1437H/2016M kepada 38 orang ketua keluarga dari keempat-empat daerah pada majlis yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Baru Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

Mereka yang menerima agihan zakat tersebut merupakan sebahagian daripada 243 orang ketua keluarga dan 414 orang tanggungan yang terdiri daripada anak-anak penerima asnaf fakir miskin yang masih belajar di sekolah rendah dan menengah.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan agihan tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, yang juga selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB.

Antara penerima bantuan ketika menandatangani borang pendaftaran bagi penerimaan bantuan perbelanjaan keperluan asasi.
Antara penerima bantuan ketika menandatangani borang pendaftaran bagi penerimaan bantuan perbelanjaan keperluan asasi.

pg04_151230_a

Dato Paduka Haji Mokti menyerahkan agihan wang zakat kepada para penerima.
Dato Paduka Haji Mokti menyerahkan agihan wang zakat kepada para penerima.

Juga hadir, Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop dan para pegawai MUIB.

Pengagihan itu sebagai usaha berterusan kerajaan melalui MUIB bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dan sebagai tanda prihatin terhadap para pelajar sekolah yang terdiri daripada anak-anak penerima agihan zakat asnaf fakir miskin.

Setiap seorang penerima agihan zakat yang disokong itu menerima sebanyak $400, yang keseluruhannya berjumlah $165,600 yang diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir dan Miskin.

Selain agihan zakat persekolahan setahun sekali itu, MUIB juga turut memberikan perbelanjaan bagi keperluan asasi secara tunai sebanyak $65 setiap seorang dan agihan persekolahan sebanyak $60 setiap seorang secara bulanan bagi tempoh dua tahun untuk menampung perbelanjaan seharian dan persekolahan mereka.

Agihan Zakat Awal Tahun Persekolahan itu dihulurkan dengan tujuan bagi membantu meringankan bebanan para penerima zakat asnaf fakir miskin untuk membeli keperluan awal tahun persekolahan bagi anak-anak mereka seperti buku teks dan buku kerja, pakaian seragam sekolah, beg dan barang-barang persekolahan lain.